Versi Bahasa
 

KELAYAKAN MELABUR

S1 Siapa yang boleh melabur dalam Unit Amanah ASNB?

Unit Amanah ASNB boleh dilanggan oleh semua warganegara Malaysia namun bagi skim berikut hanya golongan Bumiputera sahaja boleh melabur dalam skim berikut :-

  1. Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB)
  2. Sekim Amanah Saham Nasional (ASN)
  3. Skim Amanah Saham Didik (ASD)
  4. Skim Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2)
  5. Skim Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) – 51% Bumiputera dan 49% Bukan Bumiputera

Berdasarkan Surat Ikatan Amanah seorang bumiputera adalah seperti yang tertulis di dalam Perlembagaan Malaysia iaitu Melayu, Bumiputera Sabah & Sarawak dan Orang Asli.

 
S2 Siapa golongan minoriti?

Golongan minoriti adalah satu golongan yang telah mendapat kebenaran khas dari Perdana Menteri untuk melabur dalam semua unit amanah yang diuruskan oleh ASNB iaitu:

  1. Siam
  2. Portugis / Eurasian / Serani
  3. Mualaf / Beragama Islam tetapi bukan Bumiputera

Nota : Golongan ini mendapat kebenaran melabur dalam semua skim ASNB kecuali bagi skim yang mempunyai pecahan Bumiputera dan bukan Bumiputera (skim ASW 2020) ianya dikategorikan sebagai Bukan Bumiputera.

 
S3 Adakah saya tidak layak untuk melabur kerana saya lahir di luar negara sedangkan saya seorang Melayu?
 

Sekiranya anda seorang warganegara Malaysia dan berketurunan Melayu anda layak untuk melabur dalam dan dikategorikan sebagai seorang Bumiputera sekiranya maklumat keturunan di dalam “Print-Out” MyKad/MyKid menunjukkan pemohon berketurunan Melayu, atau pemohon boleh mengemukakan salinan Kad Pengenalan dan Sijil Lahir/ Borang W bagi membuktikan maklumat-maklumat di atas.

 
S4 Mengapa akaun saya digantung disebabkan kelayakan yang diragui?

Pihak kami menggantung sementara akaun tersebut kerana terdapat keraguan terhadap kelayakan anda. Pihak kami berbuat demikian bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja yang membuka akaun dengan ASNB. Anda perlu mengemukakan dokumen sokongan bagi mengesahkan keturunan anda iaitu salinan Kad Pengenalan dan Sijil Lahir/Borang W/Sijil Warganegara ATAU “Print-out” MyKad/MyKid yang mengandungi maklumat keturunan.

Sekiranya pihak kami mendapati anda tidak layak untuk melabur dengan ASNB maka akaun tersebut akan ditutup dan wang pelaburan akan dipulangkan dalam bentuk cek.

Bagi skim yang dikhaskan untuk Bumiputera, golongan berikut akan disaring kelayakannya iaitu :-

  1. Keturunan Siam
  2. Keturunan Portugis
  3. Keturunan Campuran Sabah
  4. Keturunan Campuran Sarawak
  5. Kelahiran Luar Negara
    (i)  Penggunaan kad pengenalan baru menggunakan kod negeri kelahiran 60-93
    (ii)  Penggunaan kad pengenalan lama nombor pangkal 8, 9, H6.., K8.. dan K9..
  6. Mualaf / Warganegara Malaysia beragama Islam tetapi Bukan Bumiputera
  7. Nama yang meragui
 
S5 Bolehkah seseorang yang mempunyai kad pengenalan berstatus Penduduk Tetap (Merah) melabur dalam skim ASNB?

Tidak. Skim ASNB hanya terbuka untuk warganegara Malaysia sahaja. Seorang Penjaga Berdaftar juga perlulah seorang warganegara Malaysia dan bagi skim yang dikhaskan untuk Bumiputera, Penjaga Berdaftar perlulah seorang Bumiputera atau berstatus Minoriti.

 
S6Sekiranya saya didapati tidak layak melabur, bagaimana dengan wang pelaburan saya?

Sekiranya anda didapati tidak layak, wang pelaburan anda akan dihantar melalui cek dalam tempoh 30 hari dari tarikh pihak kami mendapati anda tidak layak. Surat akan dihantar melalui pos memaklumkan bahawa anda tidak layak melabur.

 
S7 Bagaimana caranya untuk saya melabur?

Permohonan hendaklah dibuat secara terus ke Ibu Pejabat ASNB atau mana-mana Pejabat Cawangan ASNB. Sila rujuk Tatacara Urusniaga ASNB untuk senarai dokumen yang perlu dikemukakan. Satu surat pengesahan kelayakan akan dikeluarkan kepada pemohon yang layak dan dokumen tersebut boleh digunakan untuk membuka akaun.

Sekiranya akaun pemegang unit pernah ditutup sebelum ini, sila kemukakan dokumen berikut bagi proses pendaftaran semula akaun:

  1. Salinan Kad Pengenalan dan Sijil Lahir atau Print-Out MyKad/MyKid
  2. Surat Kelayakan Melabur
  3. Borang Pendaftaran ASNB P1 dan wang pos bernilai berdasarkan unit permulaan bagi skim yang berkenaan atas nama ‘Amanah Saham Nasional Berhad’.

Nota : Pemohon boleh juga menghantar permohonan melalui Ejen ASNB dan pihak Ejen boleh menghantar permohonan tersebut kepada Ibu Pejabat ASNB. Namun begitu pihak Ejen tidak bertanggungjawab dalam menentukan kelayakan permohonan tersebut.