300 JUTA UNIT BARU ASD BOLEH DILANGGAN MULAI ESOK
29 November 2007


KUALA LUMPUR, 29 November 2007- Amanah Saham Nasional Berhad telah mengumumkan tawaran 300 juta unit-unit baru bagi tabung Amanah Saham Didik (ASD) yang akan dibuka untuk langganan bermula esok, 30 November, 2007. 

Langganan ini dibuka sehingga unit habis dijual tanpa mengenakan sebarang had pelaburan maksimum bagi setiap pelabur.   

ASD merupakan tabung unit amanah berharga tetap, terbuka kepada pelabur Bumiputera yang berumur 6 bulan dan ke atas.  Pelabur yang layak juga boleh melanggan ASD menerusi Skim pelaburan Ahli KWSP. 

Tawaran tambahan kali ini akan dibuka secara serentak di semua pejabat ASNB dan lebih 1400 ejen ASNB di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan  berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat bagi memberi peluang sama rata kepada semua pelabur.

Tawaran unit-unit baru ini merupakan penambahan kali ke enam sejak ASD dilancarkan pada 20 April 2001 dengan saiz dana permulaan 300 juta unit.

Kali pertama adalah pada tahun 2002 dengan tambahan 200 juta unit, diikuti tahun 2004 dengan tambahan 200 juta unit dan kemudiannya tambahan 500 juta unit lagi pada tahun 2005.  Tahun 2004 dan 2005 menyaksikan tambahan unit-unit baru ASD ini habis dilanggan dalam tempoh 3 bulan.

Sementara itu, tahun lalu ASD telah mengumumkan tambahan 300 juta lagi unit baru yang telah habis dilanggan dalam tempoh kurang dari dua bulan. Manakala pada Julai 2007 yang lalu, sebanyak 200 juta unit baru ASD juga telah ditawarkan dan ianya juga telah habis dilanggan.   Sehingga 27 November 2007, sejumlah 149,158 pemegang unit telah melanggan lebih 1.8 bilion unit-unit ASD.