
PERDANA MENTERI LANCAR AS 1MALAYSIA
31 July 2009
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini melancarkan dana Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia), tabung dana amanah baru yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad.
AS 1Malaysia adalah dana berharga tetap RM1 seunit dengan saiz 10 billion, saiz terbesar yang pernah ditawarkan oleh PNB setakat ini.
Hadir sama pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah bin Che Othman.
AS 1Malaysia akan dibuka untuk langganan umum mulai 5 Ogos 2009 dengan tempoh tawaran awal selama 30 hari, bermula 5 Ogos hingga 3 September 2009.
AS 1Malaysia boleh dilanggan dengan jumlah pelaburan permulaan minimum 100 unit. Pelaburan tambahan minimum adalah sebanyak 1 unit.
Bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai AS 1Malaysia, sepanjang tempoh tawaran awal, had langganan maksimum adalah ditetapkan pada 50,000 unit bagi setiap pemegang unit berumur 18 tahun hingga 55 tahun. Had langganan maksimum bagi mereka yang berumur melebihi 55 tahun ialah 100,000 unit. Ia bertujuan memberi pilihan kepada golongan ini untuk mempelbagaikan pelaburan bagi merancang keperluan persaraan mereka. Selepas tempoh tawaran awal, had pelaburan tersebut boleh dihapuskan. Walaubagaimanapun, jualan semula unit-unit AS 1Malaysia sepanjang tempoh tawaran adalah tidak dibenarkan.
Sepanjang tempoh tawaran awal, langganan AS 1Malaysia ini adalah tertakluk kepada peruntukan 50 peratus untuk kaum Bumiputera, 30 peratus untuk kaum Cina, 15 peratus untuk kaum India dan peruntukan selebihnya iaitu 5 peratus untuk kaum-kaum lain.
Peruntukan yang dibuat adalah berdasarkan kepada pola kependudukan rakyat Malaysia bertujuan menarik penyertaan menyeluruh dari semua peringkat masyarakat dan sekali gus mempelbagaikan serta menambah profil pelaburan unit-unit amanah PNB.
Untuk melanggan unit AS 1 Malaysia, pelabur boleh mula berurusan di Pejabat ASNB dan Pos Malaysia mulai jam 8 pagi hingga 5 petang. Sementara urus niaga dengan ejen-ejen ASNB seperti Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank pula bermula jam 9.15 pagi hingga antara jam 4.00-4.30 petang bergantung kepada urusniaga bank berkenaan. Sepanjang tempoh tawaran awal selama 30 hari, AS 1 Malaysia ditawarkan tanpa sebarang caj jualan.
Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri juga mengumumkan pemberian 100 unit percuma kepada hampir 50,000 pelajar tahun satu peringkat ijazah pertama yang bendaftar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada sessi pengajian 2009 baru-baru ini. Pemberian unit percuma ini adalah sumbangan PNB, Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Pos Malaysia.
