ASD UMUM AGIHAN PENDAPATAN 6.35 SEN SEUNIT
15 JUN 2010

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.35 sen seunit untuk Amanah Saham Didik (ASD) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2010.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM207.75 juta, peningkatan sebanyak 33.50 peratus berbanding RM155.59 juta yang dibayar tahun lalu.

Menurut Tun Ahmad Sarji, melalui strategi pelaburan yang berhemat, tabung ASD telah menjana pendapatan yang selaras dengan situasi pelaburan semasa.

“Sepanjang tahun kewangan ASD, arah aliran pasaran saham menunjukkan peningkatan berterusan sejak separuh tahun kedua 2009 berikutan pemngumuman data-data ekonomi yang positif di peringkat global dan domestik, “ katanya.

Sehingga 11 Jun 2010, tabung ASD telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM258.33 juta. Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM89.09 juta atau 34.49 peratus kepada jumlah pendapatan kasar.

Keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM149.00 juta atau 57.68 peratus. Selebihnya, RM20.24 juta atau 7.83 peratus diperolehi melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Agihan pendapatan ini akan dimanfaatkan oleh seramai 293,504 pemegang unit yang melanggan 3.59 bilion unit ASD.

Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASD.
Urus niaga ASD akan ditangguhkan mulai 23 Jun hingga 30 Jun 2010 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan. Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan masing-masing di pejabat dan ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Julai 2010, apabila urus niaga dibuka seperti biasa.

Pembayaran pengagihan pendapatan ASD akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan ke dalam akaun para pemegang unit pada 1 Julai, 2010. Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASD menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP masing-masing.
Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan bulan Ogos 2010.
Sejak dilancarkan pada tahun 2001, tabung ASD sentiasa menjadi pilihan para pelabur golongan Bumiputera yang berminat untuk menabung bagi tujuan pendidikan.

Sepanjang tahun kewangan semasa ASD sehingga 31 Mei, 2010, sejumlah 67,403 pelabur baru telah menyertai ASD iaitu peningkatan sebanyak 29.96 peratus berbanding pada 1 Julai, 2009. Jumlah unit pelaburan baru bersih juga meningkat sebanyak 603.22 juta unit atau 21.26 peratus.

ASD ialah tabung ekuiti pertumbuhan berharga tetap yang bermatlamat memberi peluang pelaburan yang mampu menjana pulangan dan pertumbuhan jangka panjang berpatutan kepada pemegang unitnya.