
ASD UMUM AGIHAN PENDAPATAN 6.50 SEN SEUNIT
13 JUN 2011
KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.50 sen seunit untuk Amanah Saham Didik (ASD) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2011.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM256.73 juta, peningkatan sebanyak 25.19 peratus berbanding RM205.07 juta yang dibayar tahun lalu.
Sehingga 9 Jun 2011, tabung ASD telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM332.94 juta. Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM113.63 juta atau 34.13 peratus kepada jumlah pendapatan kasar.
Keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM180.23 juta atau 54.13 peratus. Selebihnya, RM39.08 juta atau 11.74 peratus diperolehi melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.
Agihan pendapatan ini akan dimanfaatkan oleh seramai 344,655 pemegang unit yang melanggan 3.99 bilion unit ASD.
Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASD.
Urus niaga ASD akan ditangguhkan mulai 22 Jun hingga 30 Jun 2011 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan. Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan masing-masing di pejabat dan ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Julai 2011, apabila urus niaga dibuka seperti biasa.
Pembayaran pengagihan pendapatan ASD akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan ke dalam akaun para pemegang unit pada 1 Julai 2011. Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASD menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP masing-masing.
Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan bulan Ogos 2011.
Sejak dilancarkan pada tahun 2001, tabung ASD sentiasa menjadi pilihan para pelabur golongan Bumiputera yang berminat untuk menabung bagi tujuan pendidikan.
ASD ialah tabung ekuiti pertumbuhan berharga tetap yang bermatlamat memberi peluang pelaburan yang mampu menjana pulangan dan pertumbuhan jangka panjang berpatutan kepada pemegang unitnya.
