AGIHAN PENDAPATAN ASD 6.30 SEN SEUNIT
24 Jun 2009

KUALA LUMPUR :- Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad ( PNB ) hari ini telah mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.30 sen seunit bagi Amanah Saham Didik ( ASD ) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2009.

Pengerusi PNB , Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid memberitahu bahawa pengagihan pendapatan tersebut akan membabitkan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM156.82 juta.

Sejumlah 224,729 pemegang unit ASD yang memegang 2.83 bilion unit akan menerima manfaat daripada agihan pendapatan itu.

Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, tahun kewangan ASD yang berakhir 30 Jun 2009 merupakan tahun yang mencabar berikutan persekitaran pelaburan global yang menerima kesan teruk akibat krisis kewangan dan ekonomi dunia yang semakin buruk.

“Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) telah mencatatkan penurunan sebanyak 26.46 peratus dari paras 1,186.57 mata yang dicatat pada 30 Jun 2008 kepada paras 872.55 mata pada 31 Mac 2009 sebelum menunjukkan pemulihan sebelum ditutup pada 1,059.50 mata pada 19 Jun 2009”. Walau bagaimanapun, menerusi strategi pelaburan yang berhemat, tabung ASD berjaya menjana pendapatan yang kompetitif kepada para pelabur”, katanya semasa sidang media pengumuman pengagihan pendapatan ASD hari ini.

Dalam pada itu, Tun Ahmad Sarji turut memberi pandangan mengenai senario global. Katanya bank-bank pusat seluruh dunia juga telah menurunkan kadar faedah masing-masing secara agresif kepada tahap yang amat rendah bagi membantu mengekang kemerosotan lanjut dan pada masa yang sama berupaya menjana pertumbuhan.

Di peringkat domestik, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.0 peratus bagi merangsang ekonomi domestik. Ekonomi negara yang telah menguncup sebanyak 6.2 peratus pada suku tahun pertama 2009 dijangka menunjukkan pemulihan pada separuh tahun kedua terutama pada suku tahun keempat.

Sehingga 19 Jun lalu, ASD telah meraih pendapatan kasar sebanyak RM185.94 juta. Daripada jumlah itu, keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM80.26 juta atau 43.16 peratus, pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM88.68 juta atau 47.69 peratus dan selebihnya sebanyak RM17 juta atau 9.15 peratus diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan-pendapatan lain.

Semua urus niaga ASD di pejabat dan ejen ASNB akan ditangguhkan bermula dari 24 Jun sehingga 30 Jun, 2009 bagi membolehkan proses pengiraan agihan pendapatan dilakukan.

Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASD .

Pembayaran pengagihan pendapatan ini akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang akaun.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASD menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.

Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar kepada pemegang-pemegang unit mulai pertengahan bulan Ogos 2009.

ASD telah menerima sambutan menggalakkan daripada para pelabur semenjak diperkenalkan pada tahun 2001 dengan saiz dana permulaan berjumlah 300 juta unit. Sejak itu, saiz dana tersebut telah ditambah sebanyak enam kali dengan saiz dana terkini berjumlah 4.5 bilion unit.

ASD merupakan sebuah dana berharga tetap yang dibuka kepada masyarakat Bumiputera seawal usia 6 bulan dan ke atas. Pelaburan dalam ASD boleh juga dibuat menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi pelabur yang layak.