ASNB TAWARKAN 488 JUTA UNIT BARU Amanah Saham Didik (ASD)
24 November 2008


KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan akan menawarkan 488 juta unit baru Amanah Saham Didik (ASD) untuk langganan bermula hari ini Isnin, 24 November, 2008.

Unit-unit baru ASD itu telah mula di jual pada jam 8.15 pagi di 10 pejabat-pejabat ASNB beroperasi penuh di seluruh negara.  Para pelabur juga boleh melanggani unit-unit ASD tersebut di 1,627 cawangan ejen ASNB di seluruh negara tertakluk kepada waktu operasi ejen-ejen berkenaan.

Pertambahan unit baru itu akan menjadikan saiz dana ASD yang dibuka untuk langganan meningkat kepada 3.0 bilion unit, berbanding 2.512 bilion unit sebelum ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah Che Othman berkata, penambahan unit baru itu bertujuan membolehkan lebih ramai rakyat negara ini berpeluang memiliki unit amanah yang ditawarkan menerusi tabung itu.

“Tabung berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan sebelum ini, justeru kami membuka unit baru dan yakin ia akan terus menerima sambutan menggalakkan,” katanya.

Ini adalah kali kedua unit ASD ditambah untuk tahun ini. Kali pertama ialah pada Julai lalu dengan pertambahan sebanyak 200 juta.

Tahun lalu, ASNB telah mengumumkan penambahan unit ASD sebanyak dua kali iaitu 200 juta unit pada bulan Julai dan 300 juta unit pada November. 

ASD dilancarkan pada 20 April 2001 dengan dana permulaan 300 juta unit.

Kali pertama ia ditambah ialah pada 2002 dengan tambahan sebanyak 200 juta unit, seterusnya pada 2004 sebanyak 200 juta unit, diikuti pada 2005 dengan tambahan unit sebanyak 500 juta dan pada Julai 2006 sebanyak 300 juta unit.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2008, ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 7.00 sen kepada pelabur.

ASD ialah dana pertumbuhan yang berharga tetap yang dibuka kepada Bumiputera berusia enam bulan ke atas.  Bagi pelabur yang layak, pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP juga dibenarkan.

ASD disasarkan kepada Bumiputera yang ingin melabur bagi tujuan pembiayaan pendidikan diri atau anak-anak mereka.  Sejak dilancarkan, purata pengagihan pendapatan tabung ASD adalah 7.4 sen se unit.