
PENGAGIHAN PENDAPATAN ASG TAHUN INI MENINGKAT
27 Mac 2008
KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan lebih tinggi bagi ketiga-tiga dana dibawah naungan Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan bagi tahun kewangan yang akan berakhir pada 31 Mac, 2008.
Pemegang dana ASG-Pendidikan akan menerima pengagihan pendapatan sebanyak 7.00 sen seunit (2007: 6.50 sen seunit), ASG-Kesihatan pula sebanyak 7.25 sen seunit (2007: 6.75 sen seunit) sementara ASG-Persaraan akan menerima 6.75 sen seunit (2007: 6.25 sen seunit).
Bagi ASG-Pendidikan pula, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM2.04 juta, berbanding RM1.66 juta yang diperuntukkan bagi tahun lepas.
Pulangan ini akan dinikmati oleh 5,171 pemegang unit yang telah melanggan 29.27 juta unit ASG-Pendidikan sehingga 25 Mac, 2008.
Sehingga 26 Mac 2008, ASG-Pendidikan telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM2.53 juta berbanding RM2.06 juta yang diperolehi tahun sebelum ini.
Bagi ASG-Kesihatan, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM1.63 juta berbanding RM1.44 juta tahun lalu. Pengagihan pendapatan ini akan dinikmati oleh 3,239 pemegang unit yang telah melanggan 22.51 juta unit ASG-Kesihatan sehingga 25 Mac, 2008.
Sehingga 26 Mac 2008, ASG-Kesihatan telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM2.54 juta berbanding RM1.96 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Bagi ASG-Persaraan, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM1.36 juta berbanding RM1.41 juta yang diperuntukkan sebelum ini.
Pulangan ini akan dinikmati oleh 2,542 pemegang unit ASG-Persaraan yang telah melanggan 20.16 juta unit sehingga 25 Mac, 2007.
Sehingga 26 Mac 2008, ASG-Persaraan, telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM2.11 juta berbanding dengan tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM1.83 juta.
Ketiga-tiga tabung unit amanah di bawah naungan ASG merupakan ‘Dana Pertumbuhan dan Pendapatan’ dengan objektif dan pembahagian aset yang berbeza bagi setiap unit amanah tersebut.
ASG adalah dana harga berubah-ubah dan setiap pelabur dibenarkan untuk membeli unit dalam ketiga-tiga tabung tanpa had. Pelabur juga boleh menggunakan tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk membuat pelaburan dalam ASG.
Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga tabung di bawah naungan ASG adalah berdasarkan baki unit yang dipegang oleh pemegang-pemegang unit pada 31 Mac 2008, iaitu hari terakhir tahun kewangan setiap unit amanah tersebut.
Pembayaran pengagihan pendapatan ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 April, 2008.
Semua urus niaga bagi ketiga-tiga unit amanah di bawah naungan ASG ditangguhkan mulai 27 Mac, 2008 hingga 31 Mac, 2008.
Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan ASG masing-masing di pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 April 2008.
