ASG UMUM PENGAGIHAN PENDAPATAN BAGI TAHUN KEWANGAN BERAKHIR 31 MAC 2009
27 MAC 2009

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga dana di bawah naungan Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan bagi tahun kewangan yang akan berakhir pada 31 Mac, 2009.

Pemegang dana ASG-Pendidikan akan menerima pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit, ASG-Kesihatan pula sebanyak 6.00 sen seunit sementara ASG-Persaraan akan menerima 5.00 sen seunit.

Bagi ASG-Pendidikan, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM2.14 juta.

Pulangan ini akan dinikmati oleh 6,557 pemegang unit yang telah melanggan 41.70 juta unit ASG-Pendidikan sehingga 24 Mac, 2009.

Sehingga 24 Mac 2009, ASG-Pendidikan telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM2.19 juta.

Bagi ASG-Kesihatan, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM1.69 juta. Pengagihan pendapatan ini akan dinikmati oleh 4,065 pemegang unit yang telah melanggan 30.42 juta unit ASG-Kesihatan sehingga 24 Mac, 2009.

Sehingga 24 Mac 2009, ASG-Kesihatan telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM1.73 juta.

Bagi ASG-Persaraan, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM1.14 juta.

Pulangan ini akan dinikmati oleh 2,767 pemegang unit ASG-Persaraan yang telah melanggan 22.36 juta unit sehingga 24 Mac, 2009.

Sehingga 24 Mac 2009, ASG-Persaraan, telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM1.41 juta.
Ketiga-tiga tabung unit amanah di bawah naungan ASG merupakan ‘Dana Pertumbuhan dan Pendapatan’ dengan objektif dan pembahagian aset yang berbeza bagi setiap unit amanah tersebut.

ASG adalah dana harga berubah-ubah dan setiap pelabur dibenarkan untuk membeli unit dalam ketiga-tiga tabung tanpa had. Pelabur juga boleh menggunakan tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk membuat pelaburan dalam ASG.

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga tabung di bawah naungan ASG adalah berdasarkan baki unit yang dipegang oleh pemegang-pemegang unit pada 31 Mac 2009, iaitu hari terakhir tahun kewangan setiap unit amanah tersebut.

Pembayaran pengagihan pendapatan ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 April 2009.

Semua urus niaga bagi ketiga-tiga unit amanah di bawah naungan ASG telahpun ditangguhkan mulai 25 Mac 2009 hingga 31 Mac 2009.

Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan ASG masing-masing di pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 April 2009.