KADAR AGIHAN PENDAPATAN ASG KEKAL
24 MAC 2010

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengekalkan kadar pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga dana di bawah naungan Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan bagi tahun kewangan yang akan berakhir pada 31 Mac 2010.

Pemegang dana ASG-Pendidikan akan menerima pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit, ASG-Kesihatan pula sebanyak 6.00 sen seunit sementara ASG-Persaraan akan menerima 5.00 sen seunit.

Berdasarkan kepada nilai aset bersih (NAB) ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan masing-masing RM1.0010, RM1.0411 dan RM1.0373 seunit pada 23 Mac 2010, dan NAB pada 31 Mac 2009, masing-masing RM0.7552, RM0.7664 dan RM0.8059, jumlah pulangan keseluruhan yang dicatatkan ketiga-tiga tabung ini masing-masing ialah 32.55 peratus, 35.84 peratus dan 28.72 peratus.

Berdasarkan NAB pada 23 Mac 2010, ketiga-tiga tabung ini mencatatkan kadar hasil pulangan 5.81 peratus bagi ASG-Pendidikan, 6.12 peratus bagi ASG-Kesihatan dan 5.05 peratus bagi ASG-Persaraan.

ASNB memperuntukkan sebanyak RM2.31 juta bagi pembayaran agihan pendapatan ASG-Pendidikan yang akan dimanfaatkan oleh 6,789 pemegang unit yang melanggan 42 juta unit tabung ini.

Sehingga 23 Mac 2010, ASG-Pendidikan telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM3.28 juta. Keuntungan dari penjualan saham menyumbang sebanyak RM1.99 juta atau 60.7 peratus daripada pendapatan kasar tersebut. Sementara, pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM0.94 juta atau 28.7 peratus. Manakala pendapatan selebihnya iaitu RM0.35 juta atau 10.6 peratus diraih menerusi pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Bagi ASG-Kesihatan pula, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM2.18 juta, yang akan dimanfaatkan oleh seramai 4,491 pemegang unit yang telah melanggan 36.4 juta unit tabung berkenaan.

Sehingga 23 Mac 2010, ASG-Kesihatan telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM2.63 juta. Keuntungan dari penjualan saham menyumbang sebanyak RM1.52 juta atau 57.8 peratus daripada pendapatan kasar tersebut. Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM0.87 juta atau 33.1 peratus, manakala pendapatan selebihnya sebanyak RM0.24 juta atau 9.1 peratus diperolehi menerusi pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Bagi ASG-Persaraan, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM1.07 juta yang akan dinikmati oleh 2,765 pemegang unit yang telah melanggan 21.4 juta unit tabung berkenaan.

Sehingga 23 Mac 2010, ASG-Persaraan telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM1.78 juta. Keuntungan dari penjualan saham menyumbang sebanyak RM1.08 juta atau 60.7 peratus daripada pendapatan kasar, sementara pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM0.44 juta atau 24.7 peratus. Pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek pula menyumbang sebanyak RM0.26 juta atau 14.6 peratus.

Ketiga-tiga tabung unit amanah di bawah naungan ASG merupakan ‘Dana Pertumbuhan dan Pendapatan’ dengan objektif pembahagian aset yang berbeza bagi setiap tabung.

ASG adalah dana harga berubah-ubah dan setiap pelabur dibenarkan untuk melanggan unit-unit dalam ketiga-tiga tabung ini tanpa had. ASG juga boleh dilaburkan menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga tabung di bawah naungan ASG adalah berdasarkan baki unit yang dipegang pada 31 Mac 2010, iaitu hari terakhir tahun kewangan bagi tabung berkenaan.

Pembayaran agihan pendapatan ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai aset bersih (NAB) setiap unit amanah pada 31 Mac 2010.

Semua urus niaga bagi ketiga-tiga unit amanah di bawah naungan ASG telahpun ditangguhkan mulai hari ini, 24 Mac 2010 hingga 31 Mac 2010.

Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan ASG masing-masing di pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 April 2010.