
ASG KEKALKAN PENGAGIHAN PENDAPATAN
29 Mac 2007
KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengekalkan kadar pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga dana dibawah naungan Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Kesihatan, ASG-Pendidikan dan ASG-Persaraan bagi tahun kewangan yang akan berakhir pada 31 Mac, 2007.
Pemegang dana ASG-Kesihatan akan menerima pengagihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit (2006: 6.75 sen seunit), ASG-Pendidikan sebanyak 6.50 sen seunit (2006: 6.50 sen seunit), sementara ASG-Persaraan akan menerima 6.25 sen seunit (2006: 6.25 sen seunit).
Pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga dana tersebut adalah untuk tahun kewangan 2007 yang akan berakhir pada 31 Mac, 2007.
Bagi ASG-Kesihatan, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM1.44 juta yang akan dinikmati oleh 2,654 pemegang unit yang telah melanggan 21.07 juta unit ASG-Kesihatan sehingga 26 Mac, 2007.
Sehingga 26 Mac 2007, ASG-Kesihatan telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.95 juta berbanding RM1.39 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Keuntungan dari penjualan saham menyumbang sebanyak 52.20% daripada jumlah pendapatan kasar tersebut. Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak 31.88% manakala pendapatan daripada lain-lain instrumen pula menyumbang sebanyak 15.92%.
Dengan kadar pengagihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit ini, kadar hasil pengagihan pendapatan (yield) berdasarkan kepada RM0.9929 iaitu purata harian nilai aset bersih ASG-Kesihatan bagai tahun kewangan sehingga 26 Mac 2007, ialah 6.80%.
Bagi ASG-Pendidikan pula, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM1.66 juta, berbanding RM1.57 juta yang diperuntukkan bagi tahun lepas.
Pulangan ini akan dinikmati oleh 4,362 pemegang unit yang telah melanggan 25.33 juta unit ASG-Pendidikan sehingga 26 Mac, 2007.
Sehingga 26 Mac 2007, ASG-Pendidikan telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM2.05 juta berbanding RM1.28 juta yang diperolehi tahun sebelum ini.
Keuntungan dari penjualan saham menyumbang sebanyak 53.42% daripada jumlah pendapatan kasar tersebut. Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak 25.99%. Pendapatan daripada pelaburan di dalam lain-lain instrumen pula menyumbang sebanyak 20.59%.
Berdasarkan kepada purata harian nilai aset bersih ASG-Pendidikan bagi tahun kewangan sehingga 26 Mac, 2007, iaitu RM0.9454, kadar hasil pengagihan pendapatan (yield) yang diperolehi oleh para pemegang unit dengan kadar pengagihan pendapatan ini adalah sebanyak 6.87%.
Bagi ASG-Persaraan, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM1.41 juta berbanding RM1.43 juta yang diperuntukkan sebelum ini.
Pulangan ini akan dinikmati oleh 2,390 pemegang unit ASG-Persaraan yang telah melanggan 22.27 juta unit sehingga 26 Mac, 2007.
Sehingga 26 Mac 2007, ASG-Persaraan, telah mencatatkan pendapatan RM1.82 juta berbanding dengan tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM1.48 juta.
Keuntungan dari penjualan saham menyumbang sebanyak 49.53% daripada jumlah pendapatan kasar tersebut. Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbag sebanyak 26.26%. Pendapatan daripada pelaburan di dalam lain-lain instumen pula memberi sumbangan selebihnya iaitu 24.21%.
Berdasarkan kepada purata harian nilai aset bersih ASG-Persaraan bagi tahun kewangan sehingga 26 Mac 2007, iaitu RM0.9677 seunit, kadar hasil pengagihan pendapatan (yield) yang diperolehi oleh para pemegang unit dengan kadar pengagihan pendapatan sebanyak 6.25 sen ini adalah sebanyak 6.46%.
Semasa majlis tersebut, Tan Sri Ahmad Sarji juga telah mengumumkan penawaran sebanyak 3 unit tambahan percuma bagi setiap 100 unit Amanah Saham Nasional 3 – Imbang (ASN 3) dan ketiga-tiga tabung di bawah naungan ASG yang dilanggan oleh pelabur dalam tempoh tawaran dari 2 April sehingga 30 April, 2007.
Unit-unit percuma ini akan dikreditkan ke dalam akaun pelabur pada 1 Mei, 2007 berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) tabung-tabung unit amanah berkenaan pada 30 April, 2007 dan dikira berdasarkan jumlah unit-unit yang dilanggan dalam tempoh tawaran.
Ciri-ciri ketiga-tiga tabung ASG merupakan ‘Dana Pertumbuhan dan Pendapatan’ tetapi objektif dan pembahagian aset setiap unit amanah tersebut adalah berbeza.
ASG adalah dana harga berubah-ubah dan setiap pelabur dibenarkan untuk membeli unit dalam ketiga-tiga tabung tanpa had.
Pelabur juga boleh menggunakan tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk membuat pelaburan dalam ASG.
“Saya berharap dengan pengagihan pendapatan ini, pemegang-pemegang unit akan terus mengekalkan pelaburan mereka dalam ASG, selaras dengan matlamat dana yang akan berteraskan pelaburan jangka panjang. Pemegang-pemegang unit juga boleh merancang kewangan atau mempelbagaikan pelaburan masing-masing dengan melanggan unit-unit amanah di bawah seliaan ASNB yang bersesuaian dengan tahap risiko dan jangkaan kadar pulangan mereka,” menurut beliau lagi.
Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga tabung ASG-Kesihatan, ASG-Pendidikan dan ASG-Persaraan adalah berdasarkan baki unit yang dipegang oleh pemegang-pemegang unit pada 31 Mac 2007, iaitu hari terakhir tahun kewangan setiap unit amanah tersebut.
Pembayaran pengagihan pendapatan ASG-Kesihatan, ASG-Pendidikan dan ASG-Persaraan adalah berdasarkan baki unit yang dipegang oleh pemegang-pemegang unit pada 31 Mac 2007, iaitu hari terakhir tahun kewangan setiap unit amanah tersebut.
Pembayaran pengagihan pendapatan ASG-Kesihatan, ASG-Pendidikan dan ASG-Persaraan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara otomatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 April, 2007, berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) setiap unit amanah pada 31 Mac, 2007.
Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan ASG masing-masing di pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 April 2007.
