ASNB UMUM KADAR AGIHAN PENDAPATAN LEBIH TINGGI BAGI ASG
22 Mac 2011

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan kadar pengagihan pendapatan lebih tinggi bagi ketiga-tiga dana di bawah naungan Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan bagi tahun kewangan yang akan berakhir pada 31 Mac 2011.

Pemegang dana ASG-Pendidikan akan menerima pengagihan pendapatan sebanyak 5.60 sen seunit, ASG-Kesihatan pula sebanyak 6.10 sen seunit sementara ASG-Persaraan akan menerima 5.10 sen seunit.

ASNB memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta bagi pembayaran agihan pendapatan ASG-Pendidikan yang akan memanfaatkan 8,662 pemegang unit yang melanggan 43 juta unit tabung ini.

Sehingga 21 Mac 2011, ASG-Pendidikan telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM3.07 juta. Keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM1.52 juta atau 49.5 peratus daripada pendapatan kasar tersebut sementara pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM1.08 juta atau 35.2 peratus. Pendapatan selebihnya iaitu RM0.47 juta atau 15.3 peratus diraih menerusi pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Bagi ASG-Kesihatan, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM2.6 juta, yang akan memanfaatkan 5,950 pemegang unit yang telah melanggan 43 juta unit tabung berkenaan.

Sehingga 21 Mac 2011, ASG-Kesihatan telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM3.03 juta. Keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM1.58 juta atau 52 peratus daripada pendapatan kasar tersebut sementara pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM1.06 juta atau 35 peratus. Pendapatan selebihnya sebanyak RM0.39 juta atau 13 peratus diperolehi menerusi pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Bagi ASG-Persaraan, ASNB telah memperuntukkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM1.1 juta yang akan dinikmati oleh 2,773 pemegang unit yang telah melanggan 21 juta unit tabung berkenaan.

Sehingga 21 Mac 2011, ASG-Persaraan telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM1.53 juta. Keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM0.66 juta atau 43.1 peratus daripada pendapatan kasar, sementara pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM0.59 juta atau 38.6 peratus. Pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek pula menyumbang sebanyak RM0.28 juta atau 18.3 peratus.
Ketiga-tiga tabung unit amanah di bawah naungan ASG merupakan 'Dana Pertumbuhan dan Pendapatan' dengan objektif serta pembahagian aset yang berbeza bagi setiap tabung.

ASG adalah dana harga berubah-ubah dan setiap pelabur dibenarkan untuk melanggan unit-unit dalam ketiga-tiga tabung ini tanpa had. Dana ASG tersenarai dalam Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga tabung di bawah naungan ASG adalah berdasarkan baki unit yang dipegang pada 31 Mac 2011, iaitu hari terakhir tahun kewangan bagi tabung berkenaan.

Pembayaran agihan pendapatan ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai aset bersih (NAB) setiap tabung unit amanah pada 31 Mac 2011.

Sementara itu, bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASG melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP masing-masing.

Semua urus niaga bagi ketiga-tiga unit amanah di bawah naungan ASG telahpun ditangguhkan mulai hari ini, 22 Mac 2011 hingga 31 Mac 2011.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASG masing-masing di pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 April 2011.