ASM UMUM PENGAGIHAN PENDAPATAN LEBIH TINGGI
27 Mac 2008


KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengumumkan pengagihan pendapatan 7.80 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Mac, 2008.

Pengagihan kali ini menyaksikan peningkatan sebanyak 1.00 sen seunit berbanding dengan  6.80 sen seunit pada tahun lalu. 

Pengagihan pendapatan ini melibatkan pembayaran sebanyak RM450.78 juta yang akan dilaburkan semula dalam unit-unit tambahan ASM dan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun para pemegang unit pada 1 April 2008. 

Jumlah ini menyaksikan peningkatan sebanyak 61.30 peratus daripada RM279.47 juta jumlah pengagihan pendapatan yang diumumkan pada tahun lalu.

Pengiraan jumlah pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASM.

Sehingga 26 Mac, 2008, ASM telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM534.52 juta, peningkatan sebanyak 55.59 peratus berbanding dengan RM343.55 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2007.

Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM236.03 juta atau 44.16 peratus kepada jumlah pendapatan kasar.

Keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM215.04 juta, atau 40.23 peratus dan pendapatan selebihnya iaitu RM83.45 juta atau 15.61 peratus diperolehi melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen  jangka pendek.

Laporan tahunan ASM akan dihantar kepada para pemegang unit mulai pertengahan bulan Mei 2008.

 

Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan ASM masing-masing di pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 April 2008. 

Semua urus niaga ASM telahpun ditangguhkan mulai 27 Mac, 2008 sehingga 31 Mac, 2008. 

Dilancarkan pada tahun 2000, ASM merupakan ’Dana Ekuiti-Pendapatan’ yang bermatlamat memberi peluang pelaburan jangka panjang kepada para pemegang unit dengan mengekalkan modal tabung di samping menjana pulangan yang kompetitif dan berterusan menerusi portfolio pelaburan yang pelbagai.

Seramai 314,608 pelabur telah melanggan sejumlah 5.78 bilion unit dalam ASM sehingga 26 Mac, 2008.