ASNB UMUM AGIHAN PENDAPATAN 6.25 SEN SEUNIT UNTUK ASM
17 Mac 2009


KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.25 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2009.

Pengerusi PNB, Tun Dato’ Seri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM407.58 juta.
“Ia akan membabitkan pembayaran kepada 402,513 pemegang unit yang melanggan sejumlah 7.21 bilion unit ASM,” katanya.

Tun Dato’ Seri Ahmad Sarji berkata, tahun kewangan ASM berakhir 31 Mac 2009 merupakan tahun kewangan yang mencabar berikutan suasana pelaburan global yang terjejas teruk berikutan krisis kewangan dan ekonomi global yang kian meruncing.

”Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) telah mencatatkan penurunan sebanyak 32.39% dari paras 1,247.52 mata yang dicatat pada 31 Mac, 2008, kepada paras 843.45 mata yang dicatat pada 13 Mac, 2009. Sungguhpun demikian, melalui strategi pelaburan yang berhemat, tabung ASM masih mampu menjana pendapatan yang munasabah,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan pengagihan pendapatan ASM, di sini hari ini.

Mengenai persekitaran ekonomi semasa, beliau berkata, bank pusat seluruh dunia telah menurunkan kadar faedah masing-masing secara agresif bagi merangsang ekonomi serta bagi mengelakkan kegawatan ekonomi daripada berpanjangan. 

Katanya, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat sudah menurunkan kadar faedah kepada hampir kosong, iaitu kepada 0.25 peratus, manakala Bank Pusat Eropah menurunkan kadar faedah ke tahap rendah terbaru iaitu 1.5 peratus manakala Bank of Japan mengekalkan kadar faedahnya pada 0.1%.

Di Malaysia pula, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali sepanjang tempoh tahun kewangan ASM kepada 2.0% bagi merangsang ekonomi domestik.  Adalah dijangkakan bahawa Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2009 akan merosot pada kadar di antara -1% hingga 1%.

Sehingga 13 Mac 2009, tabung ASM memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM440.73 juta yang mana RM219.33 juta atau 49.76 peratus daripadanya disumbangkan oleh pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat.

Sebanyak RM137.84 juta atau 31.28 peratus pula disumbangkan oleh keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat manakala RM83.56 juta atau 18.96 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASM ini akan dibuat berdasarkan kepada purata baki terendah bulanan untuk tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan tabung itu. Pengagihan pendapatan ASM ini akan dilaksanakan menerusi pelaburan semula yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2009.

Bagi tujuan pengiraan pendapatan ini, semua urus niaga bagi ASM di pejabat dan ejen-ejen ASNB akan ditangguhkan mulai 25 Mac, 2009 sehingga 31 Mac, 2009. Para pemegang unit boleh mengemaskini buku masing-masing mulai 1 April, 2009 apabila urus niaga dibuka seperti biasa.

Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan Mei 2009.
ASM ialah dana ekuiti pendapatan berharga tetap yang bermatlamat untuk memberi peluang kepada pemegang unit membuat pelaburan jangka panjang untuk menjana pelaburan kompetitif dan berterusan menerusi pelaburan dalam portfolio yang dipelbagaikan.