
ASM UMUM PENGAGIHAN PENDAPATAN 6.80 SEN SEUNIT
22 Mac 2007
KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengumumkan pengagihan pendapatan 6.80 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk tahun kewangan 2007, yang berakhir pada 31 Mac, 2007.
Pengagihan kali ini menyaksikan peningkatan sebanyak 0.05 sen seunit berbanding dengan 6.75 sen seunit pada tahun lalu.
Pengagihan pendapatan ini melibatkan pembayaran sebanyak RM280.06 juta yang akan dilaburkan semula dalam unit-unit tambahan ASM dan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun para pemegang unit.
Jumlah ini menyaksikan peningkatan sebanyak 38.55% daripada RM202.14 juta jumlah pengagihan pendapatan yang diumumkan pada tahun lalu.
Pengiraan jumlah pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan 2007.
Sehingga 15 Mac, 2007, ASM telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM335.46 juta, peningkatan sebanyak 21.96% berbanding dengan RM275.06 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2006.
Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM118.27 juta atau 35.26% kepada jumlah pendapatan kasar.
Keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM174.17 juta, atau 51.92% dan pendapatan selebihnya iaitu RM43.02 juta atau 12.82% diperolehi melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek.
Dilancarkan pada tahun 2000, ASM merupakan 'Dana Ekuiti-Pendapatan' yang bermatlamat memberi peluang pelaburan jangka panjang kepada para pemegang unit dengan mengekalkan modal tabung di samping menjana pendapatan kompetitif menerusi portfolio pelaburan yang pelbagai.
Sehingga 19 Mac, 2007, seramai 311,898 pelabur telah melanggan sejumlah 5 bilion unit dalam ASM.
ASM merupakan dana pelaburan yang paling mendapat perhatian di kalangan masyarakat Malaysia dan bagi memenuhi kehendak para pelabur, ASNB telah meningkatkan saiz dana ini sebanyak tiga kali sejak tahun 2000.
Sambutan rakyat Malaysia terhadap unit-unit amanah tambahan ini amat memberangsangkan. Ini terbukti menerusi jualan unit-unit baru sebanyak 800 juta unit pada 12 Mac, 2007 lalu yang habis dilanggan dalam tempoh satu hari.
