
ASNB UMUM AGIHAN PENDAPATAN 6.30 SEN SEUNIT UNTUK ASM
22 Mac 2010
KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.30 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM654.06 juta, peningkatan sebanyak 60.5 peratus berbanding RM407.58 juta yang dibayar tahun lalu.
Menurut Tun Ahmad Sarji, persekitaran pelaburan dan pasaran saham tempatan adalah lebih meyakinkan berikutan pemulihan ekonomi dan pasaran saham global.
Dalam ucapannya beliau berkata, “Faktor-faktor ini digabung dengan pelaksanaan berkesan pakej stimulus Kerajaan berjumlah RM67 billion dan polisi kewangan yang “accommodative” telah membantu Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan positif dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.50 peratus pada suku keempat 2009”.
Setakat 19 Mac 2010, sebanyak 11.2 bilion unit ASM telah dilanggan, peningkatan sebanyak 55.3 peratus berbanding 7.21 bilion unit yang dicatatkan pada 31 Mac 2009. Dana ASM juga telah menarik 149,000 pemegang unit baru menjadikan jumlah pemegang unit terkini berjumlah lebih 552,000.
Sehingga 19 Mac 2010, tabung ASM memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM800.83 juta. Dari jumlah itu RM429.83 juta atau 53.7 peratus daripadanya disumbangkan oleh keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat.
Sebanyak RM259.69 juta atau 32.4 peratus pula disumbangkan oleh pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat, manakala RM111.31 juta atau 13.9 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASM ini akan dibuat berdasarkan kepada purata baki terendah bulanan untuk tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan dana itu. Pengagihan pendapatan ASM ini akan dilaksanakan menerusi pelaburan semula yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2010.
Bagi tujuan pengiraan pendapatan ini, semua urus niaga bagi ASM di pejabat dan ejen-ejen ASNB akan ditangguhkan mulai 24 Mac 2010 sehingga 31 Mac 2010. Para pemegang unit boleh mengemas kini buku masing-masing mulai 1 April 2010 apabila urus niaga dibuka seperti biasa.
Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan bulan Mei 2010.
ASM ialah dana ekuiti pendapatan berharga tetap yang bermatlamat untuk memberi peluang kepada pemegang unit membuat pelaburan jangka panjang untuk menjana pelaburan kompetitif dan berterusan menerusi pelaburan dalam portfolio yang dipelbagaikan.
