
ASNB UMUM AGIHAN PENDAPATAN 6.38 SEN SEUNIT UNTUK ASM
17 Mac 2011
KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.38 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM757 juta, peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding RM652 juta yang dibayar tahun lalu.
Sehingga 15 Mac 2011, tabung ASM memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM909 juta. Dari jumlah itu RM407 juta atau 45 peratus daripadanya disumbangkan oleh keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat.
Sebanyak RM361 juta atau 40 peratus pula disumbangkan oleh pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat, manakala RM141 juta atau 15 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASM ini akan dibuat berdasarkan kepada purata baki terendah bulanan untuk tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan dana itu. Pengagihan pendapatan ASM ini akan dilaksanakan menerusi pelaburan semula yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2011.
Bagi tujuan pengiraan pendapatan ini, semua urus niaga bagi ASM di pejabat dan ejen-ejen ASNB akan ditangguhkan mulai 22 Mac 2011 sehingga 31 Mac 2011. Para pemegang unit boleh mengemas kini buku masing-masing mulai 1 April 2011 apabila urus niaga dibuka seperti biasa.
Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan bulan Mei 2011.
ASM ialah dana ekuiti pendapatan berharga tetap yang bermatlamat untuk memberi peluang kepada pemegang unit membuat pelaburan jangka panjang untuk menjana pelaburan kompetitif dan berterusan menerusi pelaburan dalam portfolio yang dipelbagaikan.
