PNB BUKA 1.6 BILION UNIT BARU ASM
15 Julai 2009

 

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan tawaran 1.6 bilion unit tambahan Amanah Saham Malaysia (ASM) dibuka untuk langganan kepada semua rakyat Malaysia bermula pada hari Selasa, 21 Julai akan datang.

Had pelaburan maksimum sebanyak 20,000 unit akan dikenakan untuk setiap pemegang akaun selama tujuh hari sehingga 27 Julai 2009. Selepas tarikh itu, pelabur boleh melanggan unit ASM ini tanpa sebarang had pelaburan maksimum, bergantung kepada unit yang masih ada.

Jualan bagi unit tambahan ASM ini adalah berasaskan kepada ‘siapa cepat dia dapat’.

Para pelabur boleh mengunjungi Pejabat Cawangan ASNB dan Pos Malaysia untuk melanggan unit ASM berkenaan mulai jam 8 pagi hingga 4 petang manakala untuk urus niaga di ejen-ejen ASNB seperti Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank mulai jam 9.15 pagi hingga 4.00-4.30 petang.

Semua urus niaga ASM hendaklah dilakukan dengan wang tunai di pejabat-pejabat cawangan ASNB dan semua ejen-ejen ASNB. Bank deraf hanya diterima di Pejabat Cawangan ASNB sahaja.

Dilancarkan pada tahun 2000, ASM merupakan ’Dana Ekuiti-Pendapatan’ yang bermatlamat memberi peluang pelaburan jangka panjang kepada para pemegang unit dengan mengekalkan modal tabung di samping menjana pulangan yang kompetitif dan berterusan menerusi portfolio pelaburan yang pelbagai.

ASM adalah dana unit amanah berharga tetap dan dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia berumur 6 bulan ke atas.

SM dilancarkan dengan saiz dana berjumlah 2 bilion unit, yang mana telah habis dilanggan dalam tempoh 21 hari. Semenjak diperkenalkan, ASM telah menawarkan unit tambahan baru sebanyak enam kali yang berjumlah 7.63 bilion unit.