AGIHAN PENDAPATAN ASN 2 KEKAL 5.20 SEN SEUNIT
26 JUN 2008

 

KUALA LUMPUR, 26 JUN 2008 : Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.20 sen seunit bagi dana Amanah Saham Nasional 2  (ASN 2) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2008.

Kadar pengagihan pendapatan kali ini adalah sama dengan kadar yang diumumkan tahun lalu.

Pengagihan pendapatan ini akan membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM11.55 juta yang akan memanfaatkan 11,230 pemegang unit yang telah melanggan sejumlah 220.74 juta unit dana ASN 2. 

Sehingga 25 Jun, 2008, tabung ASN 2 telah berjaya memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM23.05 juta.  Keuntungan dari penjualan saham menyumbang sebanyak RM12.47 juta atau 54.10 peratus sementara pendapatan daripada dividen menyumbang sebanyak RM7.87 juta atau 34.14 peratus. Lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM2.71 juta atau 11.76 peratus dari pendapatan kasar.

ASN 2 telah mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding pasaran saham semasa.  Nilai Aset Bersih (NAB) ASN 2 telah meningkat sebanyak 0.98 peratus daripada RM1.0452 seunit pada 30 Jun, 2007, kepada RM1.0554 seunit pada 25 Jun, 2008. 

Berdasarkan kepada NAB pada 25 Jun, 2008, kadar hasil pengagihan pendapatan (‘yield’) yang diperolehi oleh pemegang unit ASN2 adalah sebanyak 5.18 peratus.

Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 Jun, 2008, iaitu hari terakhir bagi tahun kewangan ASN 2.  Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula dalam bentuk unit baru dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan para pemegang unit secara otomatik berdasarkan NAB pada 30 Jun, 2008. 

Semua urus niaga bagi tabung ASN 2 di pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB akan ditangguhkan mulai hari ini 26 Jun, 2008 hingga 30 Jun 2008 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.  Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN 2 masing-masing mulai 1 Julai 2008.

ASN 2 merupakan dana harga berubah-ubah terbuka kepada pelabur Bumiputera yang berumur 18 tahun ke atas.  ASN 2 turut menyediakan peluang pelaburan menerusi Skim Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Para pemegang unit ASN 2 akan menerima penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan mereka mulai pertengahan Ogos, 2008.