
ASN 2 UMUM AGIHAN PENDAPATAN 5.20 SEN SEUNIT
23 JUN 2010
KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.20 sen seunit untuk Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2010.
Berdasarkan kenaikan nilai aset bersih (NAB) ASN 2 daripada RM 0.9122 seunit pada 30 Jun 2009 kepada RM1.0872 seunit pada 21 Jun 2010, jumlah pulangan (“total return”) yang dicatatkan oleh ASN 2 adalah sebanyak 19.18 peratus.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM11.2 juta yang dijangka dapat dimanfaatkan oleh seramai 9,237 pemegang unit yang melanggan 215 juta unit ASN 2.
Menurutnya lagi, prestasi ASN 2 sepanjang tahun kewangan berakhir 30 Jun 2010 secara keseluruhannya adalah lebih baik berbanding dengan tahun lalu. Ini adalah selaras dengan prestasi memberangsangkan ekonomi negara dan pasaran saham di mana indeks FBM KLCI telah meningkat sebanyak 24.19 peratus daripada 1,075.24 mata yang dicatatkan pada 30 Jun 2009, kepada 1,335.29 mata yang dicatatkan pada 21 Jun 2010.
Sehingga 21 Jun 2010, ASN 2 juga telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM18.47 juta iaitu peningkatan sebanyak 70.54 peratus berbanding RM10.83 juta yang dicatatkan pada tahun lalu. Pendapatan daripada jualan saham menyumbang sebanyak RM11.46 juta atau 62.05 peratus, manakala pendapatan dividen yang diterima daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM5.66 juta atau 30.64 peratus dan selebihnya RM 1.35 juta atau 7.31 peratus adalah daripada lain-lain pendapatan.
Semua urus niaga bagi ASN 2 di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan mulai hari ini, 23 Jun 2010 sehingga 30 Jun 2010 bertujuan untuk pengiraan pengagihan pendapatan.
Para pemegang unit ASN 2, boleh mengemas kini buku pelaburan masing-masing di pejabat- pejabat ASNB atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Julai 2010.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASN 2 adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 Jun 2010 iaitu hari terakhir tahun kewangan tabung ASN 2. Pengagihan pendapatan ini akan dilaburkan dan dikreditkan secara automatik di dalam akaun pemegang unit berdasarkan NAB ASN 2 pada 30 Jun 2010.
Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASN 2 menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.
Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar kepada para pemegang unit mulai hujung bulan Ogos 2010.
ASN 2 adalah merupakan dana harga berubah-ubah dengan objektif untuk memberi peluang kepada pemegang unit menikmati jumlah pulangan yang berpatutan pada tahap risiko yang bersesuaian menerusi portfolio pelaburan yang dipelbagaikan. Ianya terbuka kepada pelabur Bumiputera yang berumur 18 tahun ke atas. ASN 2 turut menyediakan peluang pelaburan menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP.
