ASNB UMUM PENGAGIHAN PENDAPATAN ASN 3 SEBANYAK 7.00 SEN SEUNIT
24 November 2008

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 7.00 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang  (ASN 3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November, 2008.

Pengerusi PNB, YABhg Tun Dato’ Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid dalam ucapannya berkata, berdasarkan Nilai Aset Bersih ASN 3 pada 21 November 2008 iaitu RM0.9403, kadar hasil pengagihan pendapatan yang diperolehi oleh pemegang unit dengan kadar pengagihan pendapatan sebanyak 7.00 seunit adalah 8.04 peratus.

Pengagihan pendapatan ini membabitkan jumlah peruntukan pembayaran sebanyak RM7.90 juta, meningkat 13.18 peratus berbanding RM6.98 juta pada tahun lalu. 

Sehingga 21 November lalu, ASN 3 meraih pendapatan kasar sebanyak RM7.07 juta berbanding yang dicatat RM8.95 juta pada tahun kewangan berakhir 30 November, 2007. 

Pendapatan daripada dividen menyumbang sebanyak RM2.57 juta atau 36.35 peratus manakal pendapatan daripada penjualan pelaburan adalah sebanyak RM2.76 juta atau 39.04 peratus.

Lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM1.74 juta atau 24.61 peratus dari pendapatan kasar tersebut. 

Menurut Tun Ahmad Sarji, tahun 2008 merupakan tahun kewangan yang mencabar bagi pengurus pelaburan tabung ASN 3 kerana pasaran saham telah mengalami penurunan mendadak berikutan krisis kewangan global. Walaubagaimanapun, dalam tempoh yang sama, ASN 3 telah mencapai prestasi yang lebih baik berbanding penanda aras di mana Nilai Aset Bersih (NAB) ASN 3 telah mencatat penurunan sebanyak 18.30 peratus berbanding penurunan sebanyak 37.95 peratus yang dialami oleh Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI).

Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November, 2008, iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN 3.  Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula dalam bentuk unit secara automotik berdasarkan nilai aset bersih pada 30 November, 2008. 

Sementara itu, bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASN 3 melalui Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP berkenaan.

Sehingga 21 November 2008, sejumlah 112.91 juta unit ASN 3 telah dilanggan oleh seramai 10,511 pemegang unit.

Semua urus niaga bagi ASN 3 di pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan mulai 22 November 2008 sehingga 30 November 2008 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN 3 masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Disember 2008.  

ASN 3 adalah sebuah ’dana imbang’ dengan harga berubah-ubah disasarkan kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas. Objektif tabung ini adalah untuk menjana pertumbuhan dalam jangka sederhana dan jangka panjang dengan melabur dalam portfolio pelaburan yang seimbang serta menerusi pelaburan semula pengagihan pendapatan, sekiranya ada.