ASNB UMUM PENGAGIHAN PENDAPATAN ASN 3 SEBANYAK 5.50 SEN SEUNIT
20 November 2009

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2009.

Pengerusi PNB, YABhg Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid dalam ucapannya berkata, berdasarkan Nilai Aset Bersih ASN 3 pada 19 November 2009 iaitu RM1.0729 seunit, kadar hasil pengagihan pendapatan yang diperolehi oleh pemegang unit dengan kadar pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit adalah 5.40 peratus. Pulangan harga ASN 3 bagi tempoh yang sama adalah sebanyak 16.44 peratus. Oleh yang demikian, berdasarkan kenaikan nilai aset bersih ASN 3 daripada RM0.8742 seunit pada 30 November 2008, kepada RM1.0729 seunit pada 19 November 2009, jumlah pulangan yang dicatatkan oleh ASN 3 adalah sebanyak 22.73 peratus.

Pengagihan pendapatan ini membabitkan jumlah peruntukan pembayaran sebanyak RM6.92 juta.

Sehingga 19 November lalu, ASN 3 meraih pendapatan kasar sebanyak RM7.94 juta meningkat sebanyak 13.27 peratus berbanding RM7.01 juta yang dicatat pada tahun kewangan berakhir 30 November 2008.

Pendapatan daripada dividen menyumbang sebanyak RM2.17 juta atau 27.33 peratus manakala pendapatan daripada penjualan pelaburan adalah sebanyak RM3.91 juta atau 49.24 peratus. Lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM1.86 juta atau 23.43 peratus dari pendapatan kasar tersebut.

Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November 2009, iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN 3. Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula dalam bentuk unit secara automotik berdasarkan nilai aset bersih pada 30 November 2009.

Sementara itu, bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASN 3 melalui Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP berkenaan.

Sehingga 19 November 2009, sejumlah 125.5 juta unit ASN 3 telah dilanggan oleh seramai 11,000 pemegang unit.

Semua urus niaga bagi ASN 3 di pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan mulai 20 November 2009 sehingga 30 November 2009 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN 3 masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Disember 2009.

ASN 3 adalah sebuah ’dana imbang’ dengan harga berubah-ubah disasarkan kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas. Objektif tabung ini adalah untuk menjana pertumbuhan dalam jangka sederhana dan jangka panjang dengan melabur dalam portfolio pelaburan yang seimbang serta menerusi pelaburan semula pengagihan pendapatan, sekiranya ada.