ASN 3 UMUM PENDAPATAN 6.00 SEN SEUNIT
22 November 2011

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.00 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2011.

Pengagihan pendapatan ini membabitkan jumlah peruntukan pembayaran sebanyak RM7.52 juta yang akan dimanfaatkan seramai 11,500 pemegang unit yang melanggan 125.41 juta unit ASN 3.

Sehingga 21 November 2011, ASN 3 meraih pendapatan kasar sebanyak RM9.26 juta. Pendapatan daripada dividen menyumbang sebanyak RM2.59 juta atau 27.97 peratus manakala keuntungan daripada penjualan pelaburan adalah sebanyak RM4.48 juta atau 48.38 peratus. Lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM2.19 juta atau 23.65 peratus dari pendapatan kasar tersebut.

Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November 2011, iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN 3. pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula dalam bentuk unit secara automatik berdasarkan nilai aset bersih pada 30 November 2011.

Sementara itu, bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASN 3 melalui Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pelaburan KWSP masing-masing.

Semua urus niaga bagi ASN 3 di pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan mulai 22 November 2011 sehingga 30 November 2011 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN 3 masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Disember 2011. Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai penghujung bulan Januari 2012.

ASN 3 adalah sebuah 'dana imbang' dengan harga berubah-ubah disasarkan kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas. Objektif tabung ini adalah untuk menjana pertumbuhan dalam jangka sederhana dan jangka panjang dengan melabur dalam portfolio pelaburan yang seimbang serta menerusi pelaburan semula pengagihan pendapatan, sekiranya ada. ASN 3 juga tersenarai dalam Skim Pelaburan Ahli KWSP.