AGIHAN PENDAPATAN ASN MENINGKAT KEPADA 6.25 SEN SEUNIT
27 Disember 2007


KUALA LUMPUR, 27 Disember 2007: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.25 sen seunit bagi Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007.
 
Kadar pengagihan pendapatan kali ini merupakan peningkatan sebanyak 0.75 sen seunit berbanding kadar yang diagihkan tahun lalu iaitu 5.50 sen seunit. 

Pengagihan pendapatan tersebut akan membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM86.81 juta yang akan dimanfaatkan oleh seramai 1.21 juta pemegang unit yang melanggan 1.389 bilion unit ASN.  Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember, 2007.

Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid berkata, berdasarkan purata harian nilai aset bersih ASN bagi tahun kewangan sehingga 24 Disember, 2007, kadar hasil pengagihan pendapatan (yield) yang diperolehi oleh para pemegang unit dari kadar pengagihan pendapatan 6.25 sen seunit ini adalah sebanyak 7.11 peratus. 

Sehingga 24 Disember, 2007, ASN telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM129.02 juta, kenaikan sebanyak RM14.16 juta atau 12.33 peratus berbanding dengan RM114.86 juta yang diperolehi dalam tahun kewangan 2006.

Pendapatan daripada jualan saham menyumbang sebanyak RM75.99 juta atau 58.90 peratus diikuti oleh pendapatan dividen yang diterima daripada syarikat-syarikat pelaburan sebanyak RM41.67 juta atau 32.30 peratus dan selebihnya,  RM11.36 juta atau 8.80 peratus adalah pendapatan daripada pelaburan jangka pendek.

 Beliau turut menambah, nilai aset bersih ASN telah meningkat sebanyak 26.27 peratus daripada RM0.7793 seunit pada 31 Disember, 2006 kepada RM0.9840 pada 24 Disember, 2007.

ASN mencatatkan prestasi yang lebih baik berikutan prestasi pasaran saham yang  memberangsangkan yang mana Indeks Komposit Kuala Lumpur telah mencatatkan paras tertingginya pada 1,440.39 mata pada 6 Disember, 2007 yang lalu.  Selain itu pada tahun ini juga nilai pasaran saham di Bursa Malaysia juga telah berjaya melepasi RM1 trilion. 

Tan Sri Ahmad Sarji turut menegaskan prestasi membanggakan ini dicapai dalam suasana ekonomi negara yang kukuh di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.  Melalui kepimpinan beliau, kerajaan telah menjalankan inisiatif transformasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang juga telah menyumbang kepada perkembangan positif ekonomi negara dan pasaran saham. 

ASN adalah sebuah tabung pertumbuhan yang diniagakan pada harga berubah-ubah dengan matlamat menjana pengagihan pendapatan dan peningkatan modal yang berpatutan, melalui pelaburan di dalam portfolio yang dipelbagaikan. 

Semua urusniaga bagi ASN di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB di seluruh negara telah ditangguhkan mulai 26 Disember, 2007 sehingga 1 Januari, 2008 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan. Urus niaga ASN akan berjalan seperti biasa bermula 2 Januari, 2008.