
AGIHAN PENDAPATAN ASN 5.50 SEN SEUNIT
24 Disember 2008
KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit bagi Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008.
Pengagihan pendapatan tersebut akan membabitkan bayaran berjumlah RM79.91 juta yang akan dimanfaatkan oleh seramai 1.2 juta pemegang unit yang melanggan lebih 1.4 bilion unit ASN.
Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember, 2008.
Pengerusi PNB, Tun Dato’ Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid berkata, prestasi ekonomi dan pasaran negara banyak dipengaruhi oleh prestasi ekonomi dan pasaran negara maju yang terjejas akibat krisis kewangan dan kredit yang berpanjangan. Sehingga 23 Disember lalu, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) telah mencatatkan penurunan sebanyak 39.71 peratus.
”Sebagai sebuah dana petumbuhan berasaskan ekuiti, nilai aset bersih ASN mencatatkan penurunan sebanyak 34.27 peratus daripada RM0.9352 seunit pada 31 Disember, 2007 kepada RM0.6147 pada 23 Disember 2008.
”Berdasarkan kepada nilai aset bersih ASN pada 23 Disember itu, iaitu RM0.6147 seunit, kadar hasil pengagihan pendapatan (yield) yang diperoleh pemegang unit pada kadar pengagihan pendapatan 5.50 sen seunit ini adalah sebanyak 9.83 peratus,” katanya.
Sehingga 23 Disember 2008, ASN telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM97.59 juta, penurunan sebanyak RM35.75 juta atau 26.81 peratus berbanding dengan RM133.34 juta yang diperolehi dalam tahun kewangan 2007.
Pendapatan daripada jualan saham menyumbang sebanyak RM49.57 juta atau 50.79 peratus diikuti oleh pendapatan dividen yang diterima daripada syarikat-syarikat pelaburan sebanyak RM38.15 juta atau 39.09 peratus dan selebihnya, RM9.87 j uta atau 10.12 peratus adalah pendapatan daripada pelaburan jangka pendek.
ASN adalah sebuah tabung pertumbuhan yang diniagakan pada harga berubah-ubah dengan matlamat menjana pengagihan pendapatan dan peningkatan modal yang berpatutan, melalui pelaburan di dalam portfolio yang dipelbagaikan.
Semua urus niaga bagi ASN di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB di seluruh negara akan ditangguhkan mulai 24 Disember 2008 sehingga 1 Januari 2009 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN masing-masing mulai 2 Januari 2009. Penyata pengagihan pendapatan dan laporan tahunan akan dihantar mulai hujung bulan Februari 2009.
