
PNB UMUM AGIHAN PENDAPATAN ASN 5.20 SEN SEUNIT
23 Disember 2009
KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.20 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009.
Pengagihan pendapatan ini membabitkan jumlah peruntukan pembayaran sebanyak RM81.52 juta, berbanding RM79.9 juta yang dibayar pada tahun kewangan 2008.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid berkata berdasarkan nilai aset bersih (NAB) ASN bagi tahun kewangan sehingga 22 Disember, 2009, iaitu RM0.7586 seunit, kadar hasil pengagihan pendapatan (”yield”) yang diperolehi oleh pemegang unit dengan kadar pengagihan pendapatan sebanyak 5.20 sen ini adalah sebanyak 7.36 peratus, manakala pulangan harga (”price return”) ASN bagi tempoh yang sama adalah sebanyak 25.75 peratus. Oleh yang demikian, berdasarkan kenaikan nilai aset bersih ASN daripada RM0.5619 seunit pada 31 Disember, 2008, kepada RM0.7586 seunit pada 22 Disember, 2009, jumlah pulangan (“total return”) yang dicatatkan oleh ASN adalah sebanyak 35.01 peratus.
Sehingga 22 Disember, 2009, ASN telah memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM87.91 juta. Pendapatan daripada jualan saham menyumbang sebanyak RM55.46 juta atau 63.09 peratus, diikuti oleh pendapatan dividen yang diterima daripada syarikat-syarikat pelaburan sebanyak RM23.75 juta atau 27.02 peratus. Selebihnya, RM8.70 juta atau 9.89 peratus adalah pendapatan daripada pelaburan jangka pendek.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASN adalah berdasarkan pegangan unit pada 31 Disember, 2009, iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN.
Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan di dalam buku pelaburan pemegang unit, berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember, 2009.
Pembayaran ini dijangka akan dimanfaatkan oleh seramai 1.19 juta pemegang unit yang melanggan lebih daripada 1.57 bilion unit ASN.
Semua urus niaga bagi ASN di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB ditangguhkan mulai 23 Disember, 2009, sehingga 3 Januari, 2010. Penangguhan urus niaga ini adalah bertujuan untuk pengiraan pengagihan pendapatan bagi tahun 2009.
Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN masing-masing di pejabat-pejabat ASNB atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara, mulai 4 Januari, 2010.
ASN merupakan ‘Tabung Pertumbuhan’ atau ‘Growth Fund’ yang dilancarkan pada 20 April, 1981. Objektif tabung ini adalah untuk menjana pengagihan pendapatan dan peningkatan modal yang berpatutan, melalui pelaburan di dalam portfolio yang dipelbagaikan.
Sebagai sebuah Tabung Pertumbuhan yang berharga berubah-ubah, perbandingan prestasi ASN dari segi jumlah pulangan keseluruhan (’’total return”) dan hasil pendapatan ("yield") boleh dilakukan dengan instrumen-instrumen yang mempunyai ciri-ciri dan tahap risiko yang hampir serupa dengan tabung ASN.
