
UNIT ASW 2020 UNTUK BUKAN BUMIPUTERA HABIS.
UNIT BUMIPUTERA MASIH BOLEH DILANGGAN.
APRIL 27, 2009.
Johor Bahru - Kesemua kuota bukan bumiputera unit tambahan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) daripada 2.0 bilion unit yang dibuka untuk jualan hari ini telah habis dilanggan.
Sejumlah 980 juta unit, yang dihadkankan kepada 20,000 unit bagi setiap pemegang akaun habis dijual pada pukul 11.50 pagi.
Tawaran ASW 2020 adalah tertakluk kepada kuota 51 peratus untuk Bumiputera dan 49 peratus untuk bukan bumiputera.
Unit-unit ASW 2020 mula dijual serentak pada pukul 8.00 pagi di Pejabat Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan rangkaian Pos Malaysia seluruh negara, manakala jam 9.15 pagi di ejen-ejen ASNB iaitu di Maybank, CIMB dan RHB.
Urus niaga berjalan lancar dan langganan berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah Che Othman mengucapkan terima kasih kepada para pelabur yang terus setia dan menyokong produk-produk ASNB.
“Langganan hari ini yang mengambil masa hanya beberapa jam menunjukkan keyakinan pelabur bukan bumiputera terhadap produk-produk ASNB,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau mengingatkan masyarakat yang tidak berkesempatan melanggan ASW 2020 dan Amanah Saham Malaysia masih boleh melanggan di dalam unit-unit amanah harga berubah-ubah seperti Amanah Saham Gemilang dan Amanah Saham Nasional 3.
Para pelabur telah mula beratur di Kaunter Utama ASNB di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sejak pukul 4.00 pagi agar tidak terlepas peluang melanggan unit-unit ini.
Situasi yang sama juga berlaku di Pejabat ASNB Kuching dan tapak pameran Minggu Saham Amanah Malaysia , didapati pelabur berbaris panjang sejak awal pagi.
ASW 2020 ialah dana unit amanah berharga tetap dan dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia berumur 6 bulan ke atas. ASW 2020 juga menawarkan Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
ASW 2020 dilancarkan pada Ogos 1996 dengan saiz dana berjumlah 3 bilion unit. Saiz dana unit ASW 2020 kini berjumlah 12.42 bilion unit.
