PENGAGIHAN PENDAPATAN ASW2020 7.00 SEN SEUNIT
27 OGOS 2008

 

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 7.00 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2008.

Pengerusi PNB, Tun Dato’ Seri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan sebanyak 7.00 sen itu membabitkan pembayaran berjumlah RM498.52 juta, iaitu peningkatan sebanyak 42.02% berbanding dengan pembayaran sebanyak RM351.02 juta bagi tahun 2007.

“Ia bakal membabitkan pembayaran kepada seramai 789,472 pemegang unit yang telah melanggan 7.76 bilion unit ASW 2020,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan pengagihan pendapatan ASW2020 di sini hari ini.

Sehingga 20 Ogos, 2008, ASW 2020 telah memperolehi pendapatan kasar berjumlah RM584.19 juta, meningkat sebanyak 9.78% berbanding dengan jumlah RM532.14 juta yang diperolehi pada tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2007.

Keuntungan dari penjualan saham menyumbang RM223.66 juta atau 38.29%; pendapatan dividen menyumbang RM247.95  juta atau 42.44%, manakala  faedah serta lain-lain pendapatan pula menyumbang RM112.58 juta atau 19.27% daripada jumlah pendapatan.
Pengiraan pengagihan pendapatan kali ini adalah berdasarkan purata baki terendah bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan 2008, iaitu mulai 1 September, 2007, sehingga 31 Ogos, 2008.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASW2020 menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.

Pengagihan pendapatan ASW 2020 ini akan dilaburkan semula dan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit secara automatik. Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 September, 2008

Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai penghujung bulan Oktober, 2008.

ASW 2020 merupakan dana berharga tetap di mana 51% daripada saiz yang dibenarkan adalah dibuka kepada masyarakat Bumiputera manakala 49% dibuka kepada masyarakat bukan Bumiputera.  Pelaburan di dalam ASW 2020 dibuka kepada warganegara Malaysia berumur seawal 6 enam bulan ke atas. ASW 2020 juga adalah tersenarai di dalam skim pengeluaran pelaburan KWSP.