PENGAGIHAN PENDAPATAN ASW2020 6.30 SEN SEUNIT
19 Ogos 2009

 

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.30 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2009.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan sebanyak 6.30 sen seunit itu membabitkan pembayaran berjumlah RM592.26 juta.

“ Pengagihan pendapatan ini akan dapat dimanfaatkan oleh seramai 872,322 pemegang unit yang telah melanggan 11.01 bilion unit ASW 2020 ” katanya pada sidang akhbar mengumumkan pengagihan pendapatan ASW2020 di sini hari ini.

Sehingga 17 Ogos, 2009, ASW 2020 telah memperolehi pendapatan kasar berjumlah RM661.28 juta, meningkat sebanyak 12.62% berbanding dengan jumlah RM587.18 juta yang diperolehi pada tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2008.

Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM223.69 juta atau 33.83%, keuntungan dari penjualan saham dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM311.27 juta atau 47.07% dari jumlah pendapatan kasar tersebut.

Manakala sumber pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek menyumbang sebanyak RM126.32 juta atau 19.10% daripada pendapatan kasar tersebut.

Pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki terendah bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan 2009, iaitu mulai 1 September, 2008, sehingga 31 Ogos, 2009.

Pengagihan pendapatan ASW 2020 akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit.

Semua urus niaga bagi ASW 2020 akan ditangguhkan mulai 25 Ogos, 2009, sehingga 31 Ogos, 2009 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 September, 2009.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASW2020 menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.

Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai penghujung bulan Oktober, 2009.

ASW 2020 merupakan dana berharga tetap di mana 51% daripada saiz yang dibenarkan adalah dibuka kepada masyarakat Bumiputera manakala 49% dibuka kepada masyarakat bukan Bumiputera. Pelaburan di dalam ASW 2020 dibuka kepada warganegara Malaysia berumur seawal 6 enam bulan ke atas.

Bagi pelabur yang tidak berpeluang untuk melabur di dalam ASW 2020, mereka boleh menyertai tabung Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) memandangkan AS 1Malaysia mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan ASW 2020 serta dibuka kepada semua rakyat Malaysia.