PENGAGIHAN PENDAPATAN ASW 2020 6.50 SEN SEUNIT
19 OGOS 2011

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.50 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2011.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.15 sen seunit berbanding pengagihan pendapatan sebanyak 6.35 sen seunit tahun lalu.

Kadar pengagihan pendapatan tersebut membabitkan pembayaran berjumlah RM909.05 juta, peningkatan sebanyak 17.72% berbanding jumlah pembayaran pada tahun sebelumnya yang berjumlah RM772.19 juta.

Pengagihan pendapatan ini akan dapat dimanfaatkan oleh seramai 906,340 pemegang unit yang telah melanggan 13.94 bilion unit ASW 2020.

Sehingga 15 Ogos 2011, ASW 2020 telah memperolehi pendapatan kasar berjumlah RM1,158.16 juta. Keuntungan dari penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM526.07 juta atau 45.42%, pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan pula menyumbang RM442.82 juta atau 38.24%, manakala sumber pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM189.27 juta atau 16.34 % daripada jumlah pendapatan kasar tersebut.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata sepanjang tahun kewangan ASW 2020 sehingga Julai 2011, pasaran saham secara amnya menunjukkan peningkatan berterusan berikutan pengumuman data-data utama ekonomi di peringkat global dan domestik yang positif.

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah mencatat peningkatan sebanyak 5.43%, daripada 1,422.49 mata yang dicatat pada 30 Ogos, 2010, kepada 1,499.74 mata pada 15 Ogos 2011. Bagi tempoh yang sama, paras terendah yang dicatat KLCI adalah 1,431.96 mata pada 1 September, 2010 dan paras tertinggi 1,594.74 mata pada 8 Julai 2011.

"Namun begitu, pasaran saham negara menunjukkan penurunan yang begitu ketara sejak awal Ogos 2011, disebabkan prestasi pasaran saham Amerika Syarikat yang mengalami penurunan apabila Standard & Poor's menurunkan tahap penarafan kredit Amerika Syarikat dari tahap AAA ke AA+,"

"Untuk tempoh akan datang, suasana ekonomi dan pasaran saham global dijangkakan akan lebih mencabar berikutan perkembangan terbaru ini" katanya pada sidang akhbar pengumuman pengagihan pendapatan ASW 2020 di sini hari ini.

Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minima bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASW 2020, iaitu mulai 1 September 2010 sehingga 31 Ogos 2011.

Pengagihan pendapatan ASW 2020 akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 September 2011. Semua urus niaga bagi ASW 2020 akan ditangguhkan mulai 25 Ogos 2011 sehingga 1 September 2011 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 September 2011.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASW 2020 menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.

Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan bulan Oktober 2011.

ASW 2020 merupakan dana berharga tetap di mana 51% daripada saiz yang dibenarkan adalah dibuka kepada masyarakat Bumiputera manakala 49% dibuka kepada masyarakat bukan Bumiputera. Pelaburan di dalam ASW 2020 dibuka kepada warganegara Malaysia berumur seawal 6 enam bulan ke atas.