
PENGAGIHAN PENDAPATAN ASW 2020 MENINGKAT KEPADA 8.00 SEN SEUNIT
29 Ogos 2007
KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 8.00 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2007.
Jumlah 8.00 sen seunit itu termasuk pengagihan pendapatan khas sebanyak 1.00 sen seunit yang diberikan bersempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara tahun ini.
Tahun lalu, dana ASW 2020 telah mecatatkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.80 sen seunit.
Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan sebanyak 8.00 sen itu membabitkan pembayaran berjumlah RM344.1 juta, yang mewakili peningkatan sebanyak 71.09% berbanding RM201.12 juta pada 2006.
“Ia bakal membabitkan pembayaran kepada seramai 715,526 pemegang unit yang melanggan 5.36 bilion unit dana ASW 2020,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan pengagihan pendapatan ASW 2020, di sini hari ini.
Sehingga 24 Ogos, 2007, tabung ASW 2020 memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM530.23 juta, meningkat sebanyak 117.62% berbanding RM243.65 juta yang diperoleh pada tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2006.
Sebanyak RM292.75 juta atau 55.21% daripada jumlah pendapatan itu disumbangkan keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat; RM181.02 juta atau 34.14% disumbangkan pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan manakala RM56.46 juta atau 10.65% dijana pelaburan dalam instrumen jangka pendek.
Tan Sri Ahmad Sarji berkata, pengiraan pengagihan pendapatan kali ini dibuat berdasarkan kepada purata baki terendah bulanan untuk tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan 2007, bermula 1 September 2006 sehingga 31 Ogos, 2007.
Pengagihan pendapatan ASW 2020 ini akan dilaburkan semula dan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit. Pemegang-pemegang unit boleh mengemaskinikan buku pelaburan masing-masing di pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB mulai 3 September, 2007.
Bagi tujuan pengiraan pendapatan ini, semua urus niaga bagi ASW 2020 di pejabat dan ejen-ejen ASNB sudah ditangguhkan mulai 27 Ogos, 2007 sehingga 2 September, 2007.
Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai penghujung Oktober, 2007.
ASW 2020 ialah dana ekuiti-Pendapatan berharga tetap yang mana 51% daripada saiz yang dibenar dibuka kepada Bumiputera manakala 49% untuk bukan Bumiputera. Pelaburan dalam ASW 2020 dibuka kepada warganegara Malaysia berusia seawal 6 bulan ke atas.
