
Agihan pendapatan Amanah saham Didik(ASD) lebih baik
26 Jun 2007
KUALA LUMPUR:- Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini telah mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 7.00 sen seunit bagi Amanah Saham Didik (ASD) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007, lebih tinggi berbanding 6.80 sen seunit yang diumumkan tahun lalu.
Agihan pendapatan bagi tahun kewangan semasa itu akan membabitkan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM108.18 juta, peningkatan sebanyak 39.79 peratus berbanding pembayaran berjumlah RM77.39 juta pada tahun lepas. Sejumlah 135,350 pemegang unit ASD yang memegang 1,569.89 juta unit akan menerima manfaat daripada agihan pendapatan itu.
ASNB akan melaburkan semula semua agihan pendapatan itu ke dalam dana ASD yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang akaun pada 30 Jun nanti.
Selaras agihan pendapatan itu, semua urus niaga ASD di pejabat dan ejen ASNB akan ditangguhkan bermula dari 27 Jun sehingga 1 Julai, 2007 hadapan bagi membolehkan proses pengiraan agihan pendapatan dilakukan. Urusniaga akan dibuka semula pada 2 Julai, 2007.
Sehingga 20 Jun lalu, ASD telah meraih pendapatan kasar sebanyak RM152.67 juta, meningkat 43.96 peratus berbanding RM106.05 juta yang direkodkan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2006.
Daripada jumlah itu, keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat menyumbang RM84.58 juta atau 55.40 peratus, pendapatan dividen daripada syarikat pelaburan menyumbang RM50.54 juta atau 33.10 peratus manakala RM17.55 juta atau 11.50 peratus disumbang oleh pelaburan lain.
Semenjak dilancarkan pada tahun 2001 dengan saiz yang dibenarkan sebanyak 300 juta unit, ASD telah mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelabur di mana saiz tabung berkenaan telah ditambah sebanyak empat kali.
Kali pertama ialah pada 2002 dengan tambahan 200 juta unit, kemudiannya pada 2004 dengan tambahan 200 juta unit lagi dan pada tahun 2005 sebanyak 500 juta unit. Pada tahun 2004 dan 2005, unit-unit tambahan ASD tersebut telah habis dilanggan dalam tempoh 3 bulan. Tahun lalu, ASD telah mengumumkan penambahan sebanyak 300 juta unit baru lagi yang telah habis dilanggan dalam tempoh kurang dari dua bulan.
ASD merupakan unit amanah berharga tetap yang dibuka kepada masyarakat Bumiputera seawall usia 6 bulan. Pelaburan dalam ASD boleh juga dibuat menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi pelabur yang layak.
