
Pengagihan Pendapatan ASN 2 Meningkat Tahun Ini
28 Jun 2007
KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.20 sen seunit untuk Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007, meningkat berbanding 5.00 sen seunit yang diumumkan tahun lalu.
Pengagihan pendapatan ini akan melibatkan pembayaran berjumlah RM13.19 juta yang akan diagihkan kepada semua 12,020 pemegang unit yang memegang sejumlah 253.73 juta unitdana ASN 2.
Sehingga 16 Jun 2007, tabung ASN 2 telah memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM27.75 juta, peningkatan sebanyak 49.68 peratus berbanding RM18.54 juta yang diperoleh pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2006.
Sebanyak RM10.78 juta atau 38.85 peratus daripada pendapatan kasar ini dijana daripada pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan manakala sebanyak RM14.76 juta atau 53.19 peratus pula dijana dari keuntungan daripada penjualan nilai saham dan RM2.21 juta atau 7.96 peratus disumbang oleh lain-lain pendapatan.
Nilai Aset Bersih (NAB) ASN 2 telah meningkat sebanyak 40.68 peratus daripada RM0.7824 seunit pada 30 Jun 2006 kepada RM1.1007 seunit pada 26 Jun 2007. Berdasarkan purata harian nilai asset bersih ASN 2 iaitu RM0.9471, kadar hasil pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 26 Jun 2007 adalah 5.49 peratus.
Pengagihan pendapatan ASN 2 ini akan dilaburkan semula dalam bentuk unit dan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit secara automatik pada 30 Jun 2007. Pemegang-pemegang unit boleh mengemaskinikan buku pelaburan ASN 2 di pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB mulai 2 Julai 2007.
ASN 2 merupakan dana pertumbuhan dan adalah unit amah harga berubah-ubah mengikut harga pasaran yang terbuka kepada pelabur Bumiputera yang berumur 18 tahun ke atas. ASN 2 juga menyediakan kemudahan melalui Skim Pelaburan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
