PENGAGIHAN PENDAPATAN ASN 3 MENINGKAT KEPADA 8.00 SEN SEUNIT
29 November 2007

KUALA LUMPUR, 29 NOV 2007: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 8.00 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang  (ASN 3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November, 2007.

Kadar ini meningkat sebanyak 1.70 sen seunit berbanding kadar yang diagihkan tahun lalu iaitu 6.30 sen seunit. 

Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata,  pengagihan pendapatan ini membabitkan jumlah peruntukan pembayaran sebanyak RM6.98 juta, meningkat 20.97 peratus berbanding RM5.77 juta pada tahun lalu. 

Sehingga 27 November lalu, ASN 3 meraih pendapatan kasar sebanyak RM8.89 juta, peningkatan sebanyak 39.78 peratus berbanding RM6.36 juta pada tahun kewangan berakhir 30 November, 2006. 

Pendapatan daripada dividen menyumbang sebanyak RM3.13 juta atau 35.21 peratus, manakala pendapatan daripada penjualan pelaburan adalah sebanyak RM4.54 juta atau 51.07 peratus.

Lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM1.22 juta atau 13.72 peratus dari pendapatan kasar tersebut. 

Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November, 2007, iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN 3.  Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula dalam bentuk unit secara automotik berdasarkan nilai aset bersih pada 30 November, 2006.  Ini membolehkan para pemegang unit menjana pendapatan berterusan selaras objektif ASN 3. 

Sementara itu, bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASN 3 melalui Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP berkenaan.

Semua urus niaga bagi ASN 3 di pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan mulai 28 November, 2007 sehingga 2 Disember, 2007 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan. 

ASN 3 adalah sebuah dana imbang dengan harga berubah-ubah  disasarkan kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.