Mengenai ASB

Amanah Saham Bumiputera (ASB) mula diniagakan pada 2 Januari 1990. Ia ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit. ASB yang merupakan tabung unit amanah jenis pendapatan dan berada dalam kategori aset campuran. Objektif ASB ialah menjana pulangan jangka panjang yang kompetitif dan konsisten kepada pemegang unit disamping memastikan pengekalan modal pada tahap toleransi risiko yang minimum. ASB dibuka untuk pelabur Bumiputera sahaja dengan pelaburan boleh dimulakan seawal usia kelahiran. Pelaburan permulaan minimum untuk membuka ASB ialah RM10 manakala pelaburan tambahan ialah serendah RM1. Had pelaburan untuk setiap pelabur ialah RM200,000 dan pelabur boleh menambah atau menjual pelaburan mereka pada bila-bila masa.

Dasar Ekonomi Baru

Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan.
Antara strategi Dasar Ekonomi Baru ialah menyusun semula masyarakat Bumiputera untuk mencapai 30 peratus pemilikan dan penyertaan dalam pengurusan ekonomi. Semasa menggubal DEB, kerajaan mengambil kira kedudukan dan ketahanan Bumiputera yang lemah dalam bidang perdagangan dan perniagaan.


3 Dekad ASB

Sumbangan ASB kepada Pembangunan
Unit Amanah Negara

  • Tempoh 1959 – 1979

    Tahun awal pengenalan unit amanah

    Dua dekad pertama dalam sejarah unit amanah negara menyaksikan pertumbuhan perlahan dalam jualan unit berikutan kurangnya minat dalam kalangan orang ramai untuk melabur dalam produk pelaburan yang baharu diperkenalkan itu.

    Sepanjang tempoh itu, hanya 5 syarikat unit amanah ditubuhkan dengan sebanyak 18 tabung diperkenalkan. Unit amanah pertama dilancarkan di negara ini oleh Malayan Unit Trust Ltd.

    Industri unit amanah dikawal selia oleh beberapa pihak seperti Registrar of Companies, The Public Trustee of Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Ministry of Domestic Trade and Consumer Affairs).

  • Tempoh dari 1980 - 1990

    Tempoh ini menyaksikan kerajaan mula mengambil bahagian secara lebih aktif dalam Industri Unit Amanah negara menerusi penubuhan jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk mengawal selia industri berkenaan.

    Tahun 1980-an mencatat sejarah tersendiri dalam industri unit amanah negara apabila Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada 1981.

    Walau terdapat hanya 11 tabung dilancarkan sepanjang tempoh sedekad itu, jumlah unit amanah yang dilanggan orang ramai berkembang ke tahap yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini berikutan sambutan menggalakkan terhadap ASN.

    Dekad ini juga menyaksikan kemunculan lebih banyak syarikat pengurusan unit amanah yang merupakan anak syarikat institusi kewangan. Kehadiran syarikat berkenaan meluaskan penawaran unit amanah menerusi rangkaian cawangan bank, seterusnya memudahkan capaian masyarakat untuk melanggan unit amanah.

  • Tempoh dari 1991-1999

    Tempoh ini menyaksikan pertumbuhan terpantas industri unit amanah negara dari segi jumlah syarikat pengurusan unit amanah yang baharu diwujudkan dan juga jumlah dana yang diuruskan.

    Strategi pemasaran meluas yang digunakan oleh ASN dan ASB (Amanah Saham Bumiputera) memainkan peranan penting dalam menjadikan unit amanah sebagai produk isi rumah di negara ini.

    Sehingga akhir 1996, nilai aset di bawah pengurusan syarikat unit amanah meningkat 3 kali ganda dari RM15.72 bilion kepada RM59.95 bilion.

    Bagaimanapun pertumbuhan industri unit amanah menyederhana pada 1997-1998 berikutan krisis kewangan yang melanda negara dan dunia.

  • Tempoh 2000 hingga sekarang

    Industri unit amanah bermula dengan baik apabila memasuki abad ke 21. Ia mencatat pertumbuhan 2 angka untuk tempoh 7 tahun pertama, dari RM43 bilion dalam Nilai Aset Bersih (NAB) kepada RM169 bilion pada 31 Disember 2007.

    Bagaimanapun pertumbuhan kukuh itu terganggu oleh krisis kewangan luar biasa pada 2008, yang menyebabkan NAB jatuh kepada RM134 bilion.

    Sehingga kini, unit amanah memainkan peranan sebagai salah satu destinasi pelaburan pilihan untuk mereka yang mencari pelaburan berisiko rendah dan sederhana dan mempunyai matlamat jangka panjang.

Sumber maklumat: Laman Web Federation of Investment Managers Malaysia

Back To Top