Mengenai ASB

Amanah Saham Bumiputera (ASB) mula diniagakan pada 2 Januari 1990. Ia ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit. ASB yang merupakan tabung unit amanah jenis pendapatan dan berada dalam kategori aset campuran. Objektif ASB ialah menjana pulangan jangka panjang yang kompetitif dan konsisten kepada pemegang unit disamping memastikan pengekalan modal pada tahap toleransi risiko yang minimum. ASB dibuka untuk pelabur Bumiputera sahaja dengan pelaburan boleh dimulakan seawal usia kelahiran. Pelaburan permulaan minimum untuk membuka ASB ialah RM10 manakala pelaburan tambahan ialah serendah RM1. Had pelaburan untuk setiap pelabur ialah RM200,000 dan pelabur boleh menambah atau menjual pelaburan mereka pada bila-bila masa.

Dasar Ekonomi Baru

Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan.
Antara strategi Dasar Ekonomi Baru ialah menyusun semula masyarakat Bumiputera untuk mencapai 30 peratus pemilikan dan penyertaan dalam pengurusan ekonomi. Semasa menggubal DEB, kerajaan mengambil kira kedudukan dan ketahanan Bumiputera yang lemah dalam bidang perdagangan dan perniagaan.


3 Dekad ASB

ASB Rentas Masa –
Aspirasi Anda, Amanah Kami

  • 20 April 1981
    Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) dilancarkan.

    Sekim ASN dilancarkan bertujuan mengumpul modal daripada masyarakat Bumiputera bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran modal tempatan. Ketika dilancarkan, ASN ditawarkan pada harga tetap RM1 dengan had pelaburan 50,000 unit.

    Mengikut Surat Ikatan atau Deed of Trust, ASN akan mula diniagakan mengikut harga pasaran pada 1 Januari 1991. Ini bermakna pelabur ASN akan menghadapi risiko turun-naik pasaran saham.

    Sehingga akhir 1988, ASN telah berjaya mengumpulkan modal bumiputera sebanyak 6,000 juta ringgit. Ini merupakan jumlah terbesar berbanding dengan jumlah pelaburan Bumiputera menerusi saluran lain. Lebih bermakna lagi ialah sebahagian besar daripada modal berkenaan adalah daripada kalangan Bumiputera yang berpendapatan rendah termasuk yang tinggal di luar bandar.

    Selanjutnya

  • 11 November 1989
    Majlis Pengisytiharan Skim Pelaburan Bumiputera Selepas 1990

    Kerajaan mengumumkan pelancaran Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebagai skim unit amanah baharu yang akan menggantikan ASN selepas ASN mula diniagakan. Langkah ini merupakan satu lagi usaha Kerajaan dalam membela masa depan masyarakat bumiputera.

    Ucapan di Majlis Pengisytiharan Skim Pelaburan Bumiputera Selepas 1990 https://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=mahathir&id=1705

    Selanjutnya

  • 2 Januari 1990
    Amanah Saham Bumiputera (ASB) mula diniagakan.

    Seperti ASN, ASB ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit, dengan had maksimum pelaburan sebanyak 100,000 unit. Ini berdasarkan maklumbalas bahawa masyarakat Bumiputera berminat dengan pendekatan ini kerana ia boleh melindung mereka yang kurang mahir dalam urus niaga pasaran saham.

    Pelaburan permulaan yang digelar Unit Pokok sebanyak RM10 dibayar oleh PNB bagi pihak pelabur ASN pada masa itu dan ini menjadikan semua pelabur ASN sebagai pelabur ASB. Bagaimanapun pelaburan pokok RM10 ini tidak boleh dikeluarkan selama 10 tahun.

    Selain itu, kerajaan menetapkan semua bonus ASN bagi tahun berakhir 31 Disember 1989 dibayar dalam bentuk unit ke dalam ASB. Oleh itu, semua pemegang ASN mempunyai 10 unit dalam ASB beserta tambahan 5% daripada jumlah unit ASN yang dimilikinya. ASN menetapkan dividen sebanyak 9.5% dividen untuk tahun berakhir 31 Disember 1989.

    ASB diperkenalkan bertujuan mengekalkan pemilikan modal dalam perniagaan dan perusahaan oleh Bumiputera hasil daripada skim ASN kerana kerajaan bimbang selepas sahaja ASN dinilai mengikut harga pasaran, kebanyakan pelabur akan menjual unit mereka untuk keuntungan jangka pendek.

    Langkah menjual pegangan itu dibimbangi akan menjejas usaha kerajaan meningkatkan penyertaan bumiputera melalui DEB selepas DEB tamat pada 31 Disember 1990

    Selanjutnya

  • 1 Januari 1991
    Skim ASN mula diniagakan mengikut harga pasaran

    Harga unit ASN tidak lagi tetap pada RM1 seunit seperti ketika ia dilancarkan, tetapi diniagakan pada nilai aset bersih tabung berkenaan setiap hari.

    Pejabat Pos dilantik ejen pertama ASNB
    Sebanyak 280 buah Pejabat Pos di seluruh negara mula mempunyai kemudahan komputer talian terus dengan ibu pejabat ASNB.

    Ini bagi memudahkan pelabur Bumiputera di kawasan pendalaman untuk mendapatkan harga saham ASN setiap hari untuk mereka menjual dan membelinya.

    Selanjutnya

  • 9 Jun 1999
    Minggu Pelaburan Bersama PNB dilancarkan.

    Minggu Pelaburan Bersama PNB dianjurkan bertujuan berkongsi mengenai pentingnya pentingnya penggemblengan modal dalam membantu mengukuhkan ekonomi negara.

    Pada majlis pelancaran MBPNB ini, kerajaan mengumumkan bahawa 20 April setiap tahun akan dikenali sebagai Minggu Saham Amanah Malaysia, bertepatan dengan tarikh pelancaran Skim Amanah Saham Nasional Pertama pada 20 April 1981.

    Selanjutnya

  • 20 April 2000
    Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang pertama diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra

    MSAM bertujuan mendidik masyarakat mengenai industri, selok-belok, peluang-peluang dan manfaat melabur dalam saham amanah dan sumbangan PNB dan ASB kepada masyarakat secara umumnya menerusi penyertaan dalam sektor korporat negara.

    Tema pertama MSAM ialah ‘Saham Amanah -- Pilihan Pelabur’

    Selanjutnya

  • Januari 2003
    Seminar Perancangan Kewangan dilancarkan.

    ASNB memperkenalkan ‘Seminar Perancangan Kewangan’ secara percuma kepada orang ramai sebagai salah satu usaha untuk menyampaikan ilmu dan maklumat pelaburan kepada orang ramai selain memberi penerangan mengenai ASB.

    Pada 2008, seminar ini djenamakan semula dengan nama baharu ‘Seminar Pelaburan 360 Hari’ bagi mencerminkan kesungguhan ASNB menyampaikan ilmu pelaburan setiap hari kepada orang ramai.

    Hari ini, penyampaian ilmu menerusi seminar ini semakin pelbagai dengan ASNB turut menggunapakai kemudahan digital untuk e-Seminar dan Webminar.

    Sehingga 31 Disember 2019, lebih 750,000 peserta telah menerima manfaat daripada seminar ini.



    Selanjutnya

  • Februari 2008
    Pelaburan dalam ASB difatwa Harus

    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

    Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

    Rujukan : http://e-muamalat.islam.gov.my/ms/bahan-ilmiah/fatwa-muamalat/117-pelaburan-dalam-asn-asb-dan-seumpamanya

    Selanjutnya

  • April 2009
    Kemudahan pelaburan tambahan ke dalam ASB menerusi Maybank2u.com dilancarkan

    Maybank2u merupakan portal pertama yang menawarkan kemudahan pelaburan tamabahan secara dalam talian untuk pelabur ASB.

    Menerusi kemudahan ini, selain pelaburan tambahan ke dalam akaun sendiri, pelabur juga boleh membuat pelaburan tambahan secara dalam talian untuk pihak ketiga.

    Selanjutnya

  • 17 Mac 2013
    Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah dilancarkan.

    Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah merupakan produk pengurusan perwarisan yang membolehkan pemegang unit amanah ASB menamakan penerima untuk pelaburan mereka dalam ASB menggunakan konsep Hibah dan Amanah.

    Menerusi Hibah Amanah, unit amanah ASB yang ditinggalkan pelabur Muslim selepas kematian mereka tidak perlu lagi melalui proses pembahagian menerusi Faraid, menjadikan proses tuntutan lebih mudah dan pantas.

    Selanjutnya

  • April dan Ogos 2017
    Selangor dan Pulau Pinang mengeluarkan fatwa Harus untuk melabur dalam ASB

    Fatwa oleh Selangor dan Pulau Pinang ini menjadikan kesepakatan fatwa keharusan pelaburan ASN dan ASB telah dicapai semua majlis fatwa negeri.

    Majlis fatwa Selangor menimbang semula fatwa mereka dan mencapai persetujuan untuk mengharuskan pelaburan itu pada 27 April 2017. Majlis fatwa Pulau Pinang mencapai persetujuan sama dalam mesyuarat pada 15 Ogos 2017.

    Ini menjadikan semua negeri di Malaysia bersetuju mengeluarkan fatwa Harus melabur dalam ASB dan unit amanah ASNB yang lain.

    Selanjutnya

  • Jun 2017
    Penggunaan buku pelaburan ditamatkan.

    Pelabur kini hanya perlu membawa kad pengenalan untuk sebarang urus niaga dengan ASNB berikutan migrasi sistem dari Unit Trust System (UTS) kepada Fund Distribution System (FDS).

    Berikutan migrasi sistem berkenaan, urus niaga ASB ditangguhkan pada 23 Jun 2017, kali pertama dalam sejarah ASB kerana sebelum ini urus niaga ASB hanya ditangguhkan untuk urusan pengiraan dividen setiap bulan Disember.

    Selanjutnya

  • April 2018
    Portal MyASNB dilancarkan

    Portal myASNB membolehkan pelabur melaksanakan urus niaga ASB dan unit amanah ASNB yang lain, seperti membuka akaun baharu, pelaburan tambahan, menyemak baki terkini dan terperinci serta mengemas kini maklumat secara dalam talian sahaja.

    Selanjutnya

  • Disember 2018
    Kemudahan pelaburan masa sebenar menerusi ATM Maybank dan Maybank2u dilancarkan.

    Pelabur boleh membuat pelaburan tambahan dan menyemak baki terus selepas membuat pelaburan tambahan ke dalam ASB.

    Selanjutnya

  • April 2019
    Kemudahan Auto Labur @myASNB dilancarkan.

    Kemudahan ini membolehkan pelabur menetapkan pelaburan bulanan serendah RM30 secara automatik ke dalam ASB.



    Selanjutnya

Back To Top