KEMUDAHAN PELABURAN MENGGUNAKAN KAD DEBIT


1. Apakah yang ditawarkan oleh kemudahan ini?

Kemudahan ini membenarkan pemegang unit menggunakan kad debit sebagai ganti tunai atau cek untuk membuat pelaburan permulaan atau tambahan di Cawangan ASNB, Unit Bergerak ASNB (UBA) atau ASNB “Mobile Sales”.

2. Apakah kebaikan pelaburan melalui kemudahan kad debit ini?

Dengan adanya kemudahan ini, pemegang unit tidak perlu lagi membawa wang tunai apabila ingin melabur sama ada di Cawangan ASNB, Unit Bergerak ASNB (UBA) atau ASNB “Mobile Sales”. Untuk pelaburan menerusi UBA, jumlah pelaburan juga tidak lagi terhad kepada jumlah pelaburan tunai yang dibenarkan (ketika ini jumlah pelaburan tunai di UBA adalah terhad kepada RM200 untuk satu transaksi).

3. Adakah semua Cawangan ASNB menawarkan kemudahan ini?

Buat masa ini, kemudahan pelaburan melalui kad debit ini ditawarkan di lokasi-lokasi seperti berikut:

Cawangan ASNB dengan kemudahan Kad Debit
KAUNTER UTAMA KL
PUTRAJAYA
SHAH ALAM
KUALA SELANGOR
UTC SELANGOR, SHAH ALAM
UBA TENGAH - ASNB KAUNTER UTAMA
UBA UTARA - ASNB ALOR SETAR
UBA SELATAN - ASNB JOHOR BAHRU
UBA TIMUR - ASNB KUANTAN
UBA SABAH - ASNB KOTA KINABALU
UBA SARAWAK - ASNB KUCHING

4. Adakah saya akan dikenakan sebarang caj menggunakan kemudahan kad debit ini?

Tidak. Tiada sebarang caj dikenakan untuk kemudahan ini.

5. Adakah ASNB boleh menerima kad debit yang dikeluarkan oleh bank luar negara?

ASNB hanya menerima kad debit yang dikeluarkan oleh bank Malaysia yang mempunyai logo MyDebit untuk kemudahan ini.

6. Adakah terdapat sebarang jumlah pelaburan minimum atau maksimum untuk pelaburan menerusi kad debit ini?

Jumlah pelaburan minimum adalah tertakluk kepada had pelaburan permulaan/pelaburan tambahan minimum tabung unit amanah ASNB tersebut. Jumlah pelaburan maksimum pula adalah tertakluk kepada jumlah had maksimum yang dibenarkan oleh bank kad debit tersebut ataupun had pelaburan maksimum tabung unit amanah ASNB tersebut, yang mana lebih rendah.

7. Adakah saya perlu mengisi borang pelaburan permulaan/tambahan sekiranya melabur menggunakan kad debit?

Ya, borang pelaburan permulaan/tambahan perlu diisi seperti biasa.

8. Adakah kemudahan ini turut disediakan di ejen-ejen ASNB?

Kemudahan ini hanya disediakan di cawangan-cawangan ASNB, Unit Bergerak ASNB (UBA) dan ASNB “Mobile Sales” sahaja.

9. Adakah pelaburan melalui kad debit akan dikreditkan serta merta ke dalam akaun pemegang unit?

Ya, unit akan dikreditkan serta merta ke dalam akaun pemegang unit.

10. Adakah waktu urus niaga pelaburan menggunakan kad debit sama seperti waktu urus niaga di cawangan ASNB?

Ya, waktu urus niaga pelaburan menggunakan kad debit adalah sama seperti waktu urus niaga sedia ada Cawangan ASNB.

Back To Top